
Pengacara, Irin Putri tampil menjelaskan kekeliruan segelintir pihak yang mendakwa program kebajikan Bersamamu hanyalah lakonan semata-mata, sedangkan hakikatnya setiap kisah yang dipaparkan merupakan cerita benar daripada kehidupan individu yang diuji.
Artikel Berkaitan: Dokumentari ‘Misi: Kembalikan Kuasa Kenyir’ Majalah 3 Cipta Sejarah! Raih Anugerah Gangsa Di Content Asia Awards 2023
Kisah benar

Menerusi hantaran di Threads, Irin berkata, apa yang ditayangkan dalam program tersebut adalah lakonan semula, bukan cerita rekaan atau fiksyen yang dicipta demi meraih emosi penonton.
Tegas Irin, pasukan produksi hanya mengangkat kisah sebenar insan-insan yang berada di titik paling rendah dalam kehidupan mereka untuk dikongsikan kepada masyarakat.
Saya terasa apabila ada pihak yang menganggap program Bersamamu sekadar lakonan semata-mata. Untuk makluman, ia adalah lakonan semula, bukan rekaan cerita.
Kami tidak mencipta kisah fiksyen. Segala yang dipaparkan merupakan kisah benar kehidupan insan-insan susah, termasuk detik paling rendah dalam hidup mereka, yang digambarkan semula menerusi program ini.
Berkongsi pengalaman paling menyentuh perasaan sepanjang bergelar hos Bersamamu, Irin mendedahkan satu insiden tragis yang masih terkesan di hatinya sehingga sekarang.
Katanya, ketika pertama kali turun ke lokasi sebagai hos, pasukan produksi tidak melakukan lakonan semula kerana kisah yang dirakam melibatkan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang menghidap kanser.
Ketika kali pertama saya turun ke lokasi sebagai hos Bersamamu, pasukan kami tidak melakukan lakonan semula pada hari terakhir penggambaran.
Ketika itu, kisah yang diketengahkan melibatkan seorang remaja berusia 14 tahun yang menghidap kanser.
Beberapa hari sebelum itu, kru sempat mengikut remaja tersebut menjalani pemeriksaan di hospital dan ketika itu dia masih sedar.
Pada hari saya tiba untuk merakam babak saya, keadaan remaja tersebut tiba-tiba menjadi semakin kritikal dan dia sudah tidak sedarkan diri di rumah.
Saya duduk di atas lantai bersama ibunya, di sisi remaja itu yang sedang terbaring di atas tilam. Saya bertanya kepada ibunya sama ada dibenarkan kamera merakam perbualan kami, dan ibunya mengizinkan.
Detik paling menyayat hati berlaku apabila remaja berkenaan menghembuskan nafas terakhir ketika Irin sedang berbual dan menyelami luahan hati si ibu.
Ketika saya sedang menyelami luahan hati si ibu, remaja tersebut menghembuskan nafas terakhir di hadapan kami. Semua yang berada di situ menangis dalam kesedihan.
Selepas itu, kami memberi ruang sepenuhnya kepada keluarga tersebut. Kami hanya mengikuti dari jauh sehingga remaja itu selamat dikebumikan pada petang hari yang sama.
Itulah antara pengalaman paling menyentuh hati dan tidak akan saya lupakan sepanjang bekerja dengan TV3. Al-Fatihah buat adik tersebut.
Penjelasan Irin sekali gus membuka mata ramai bahawa Bersamamu bukanlah program yang mengeksploitasi emosi, sebaliknya menyampaikan realiti kehidupan sebenar agar masyarakat lebih peka terhadap penderitaan insan lain.
Sumber: Threads








