![[VIDEO] Agy Klarifikasi ‘Lala Raya’ – ‘Hanya Momen Makan Beradab, Bukan Lukisan The Last Supper’](https://asset.ohbulan.com/2026/02/AGY-LALA-RAYA.jpg)
Penyanyi dan pempengaruh, Agy menegaskan dia sama sekali tidak mempunyai niat untuk menghina mana-mana agama, bangsa atau kaum menerusi lagu raya berjudul Lala Raya.
Artikel Berkaitan: Agy Gembira Strategi Guna Ahli Keluarga Untuk Undi Dapat Hasil – ‘Itu Idea Pak Long Saya’
Artikel Berkaitan: Agy Henti Promosi Brand Demi Hormati Situasi GSF, Tak Peduli ‘Income’ Terjejas – ‘Rezeki Allah Luas’
Agy tidak berniat

Bagaimanapun, dia mengakui terdapat kekhilafan bersama pasukan produksi yang tidak berhati-hati dalam merangka jalan cerita muzik video tersebut.
Dengan penuh rasa bertanggungjawab saya sebagai seorang Islam dan juga rakyat Malaysia, tanpa ada niat walaupun sedikit, walaupun secalit di ingatan, di fikiran, di hati, tak ada langsung untuk menghina mana-mana pihak, lebih-lebih lagi yang melibatkan agama, bangsa ataupun kaum.
Memang kekhilafan daripada pihak saya dan juga team. Saya bukan bergerak solo dalam projek kali ini, saya bergerak dengan beberapa orang. Semua orang ada di belakang saya dan benda ini mungkin kekhilafan daripada pihak kami tanpa ada niat.
Mengulas dakwaan terdapat persamaan dengan persis lukisan terkenal, The Last Supper, Agy menjelaskan visual yang dipaparkan hanyalah gambaran momen makan bersama keluarga yang disampaikan sebagai konsep ‘makan beradab’.
Saya tahu ada yang kata mungkin ada persamaan dengan kepercayaan ataupun lukisan ‘The Last Supper’.
Sejujurnya memang tak ada, dan hanya sebagai rujukan saya dan keluarga makan di meja bersama, momen kami bersama dan disampaikan sebagai ‘makan beradab’ sebenarnya. Itu yang seikhlas hati saya.
Agy berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis pelancaran lagu raya Lala Raya di Bangsar pada Jumaat.
Agy yang turunkan video
Tambah pemilik nama Muhammad Affizy Mohd Khairy Rajan, pihaknya sendiri telah mengambil inisiatif menurunkan video muzik tersebut daripada YouTube.
Bukan diturunkan oleh YouTube, saya sendiri dengan rasa tanggungjawab yang sangat besar dan rasa bersalah.
Saya turunkan sendiri dan minta team untuk sunting balik video tersebut.
Kita juga tukar segera cover art di Spotify dan iTunes walaupun proses itu mengambil masa dua ke tiga hari. Sebab itu kita buat sidang media hari ini.
Alhamdulillah, semua dah tukar. MV pun kita dah muat naik yang baharu.
Dalam pada itu, Agy menekankan dia menghormati semua agama dan menganggap isu tersebut sebagai pengajaran besar buat dirinya dan pasukan produksi agar lebih peka pada masa akan datang.
Saya memang menghormati semua agama dan bangsa sebab saya pun ada rakan-rakan, ahli keluarga dan pengikut daripada pelbagai agama.
Saya harap isu ini tidak berpanjangan dan saya mengambil tanggungjawab untuk memohon maaf hari ini dengan seikhlas hati, dengan rendah diri dari hujung rambut sampai hujung kaki.








