Demi menjaga aib, pelakon, Zulin Aziz mengambil pendekatan untuk tidak mendedahkan punca sebenar perceraian dengan bekas suami, Farhan Norzaini.

Artikel Berkaitan: Zulin Aziz Sah Bercerai, Habis Jalani Tempoh Iddah

Jaga aib bekas suami

Zulin atau nama sebenar Farah Azleenda Abdul Aziz, 37, berkata, mereka berpisah secara baik dan perkara paling penting buatnya adalah hubungan antara kedua keluarga masih terpelihara dengan baik.

Saya bercerai secara baik dengan bekas suami. Hubungan kami dan keluarga pun masih baik. Alhamdulillah doakan yang baik-baik.

Kami tidak mahu berkongsi apa-apa (punca penceraian). Lagipun kita di bulan Ramadan sekarang ini. Saya nak menjaga silaturahim kami dan tidak mahu membuka aib sesiapa.

Saya menghormati pihak sana (bekas suami) dan keluarga sendiri. Kami dah berbincang baik-baik untuk mengunci mulut.

Tetapi kami berdua masih berkawan, malah hubungan dengan keluarga bekas suami juga masih baik. Masih bertegur antara satu sama lain.

Zulin berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media program Raya Astro 2026 yang diadakan di Hotel Pavilion, Kuala Lumpur pada Khamis.

Bercerita lanjut, Zulin mengakui banyak pihak yang membuat pelbagai andaian mengenai punca perpisahan tersebut, namun menegaskan hanya dirinya yang benar-benar mengetahui apa yang berlaku dalam rumah tangganya.

Orang cakap senang, kenapa bercerai? Mudah saja label artis ini bercerai macam beli baju. Tapi mereka (netizen) tidak duduk dekat kaki kita. Kita pun tak kongsikan (punca cerai) kepada mereka sebab tiada keperluan pun.

Saya selesa dengan apa yang saya buat ini (kunci mulut) selepas melihat pengalaman orang lain yang bercerita tentang kisah penceraian mereka. Saya ambil ini sebagai iktibar.

Dalam pada itu, Zulin turut mengakui dia kini sedang melalui fasa menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu selepas berpisah, meskipun masih menyimpan rasa sedih.

Saya kini dalam fasa pemulihan. Perlahan-lahan, saya cuba buat macam biasa. Bergelak ketawa untuk menutup rasa sedih.

Saya tidak suka terlalu emosi. Kerja saya pula kena melawak. Biarlah kalau saya menangis di rumah saja seorang diri. Biar orang nampak yang indah-indah saja cukuplah.

Sebelum ini, Zulin mendedahkan dia sudah sah bercerai pada 18 Disember tahun lalu dan ketika pengumuman itu dibuat dia sudah selesai menjalani tempoh idah.

Untuk rekod, Zulin dan Farhan bernikah pada 20 Februari 2022. Namun, belum dikurniakan cahaya mata.