![[VIDEO] Remaja Mualaf Dari Kemboja Raih Perhatian Warganet, Gigih Bantu Ibu Bapa Jual Mangga](https://asset.ohbulan.com/2026/05/hafiz-10.jpg)
Seorang remaja yang dikenali sebagai Hafiz meraih perhatian warganet apabila kisah kehidupannya sebagai anak perantau dari Kemboja yang membesar dalam serba kekurangan di Malaysia menyentuh hati ramai.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Pemuda ‘Korban’ Zaman Muda Kutip Sampah, Bantu Sara Tiga Adik Bersekolah – ‘Saya Buat Dua Kerja, Janji Halal’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Individu OKU Gigih Cari Rezeki, Berdiri 10 Jam Jual Kerepek – ‘Sehari Paling Banyak Dapat RM34’
Tidak berpeluang dapat pendidikan
Menerusi satu perkongsian video di TikTok, Hafiz memaklumkan bahawa dia tidak berpeluang mengikuti pendidikan di sekolah kebangsaan kerana status kewarganegaraannya adalah bukan warganegara Malaysia.
Tambahnya lagi, bapanya bekerja sebagai buruh binaan, manakala ibunya tidak bekerja kerana perlu mengurus dan menjaga adik yang masih kecil.
Nama saya Hafiz, umur saya 17 tahun.
Saya ada pergi ke sekolah tetapi hanya mengaji sahaja bersama ustaz.
Tapi saya bukan orang Malaysia, saya orang Kemboja.
Jadi saya tidak boleh bersekolah di sekolah kebangsaan.
Saya ada adik-beradik tiga orang, dan saya anak sulung.
Mak dan ayah saya orang Kemboja.
Dulu saya bukan Islam.
Bila saya datang Malaysia, kami sekeluarga peluk Islam.
Ayah saya kerja macam buat rumah orang, buat lantai, semua itu dia boleh buat.
Mak saya tak kerja sebab ada adik kecil lagi.
Pernah ditangkap

Dalam pada itu, Hafiz pernah melalui detik sukar apabila dia dan bapanya ditahan pihak berkuasa ketika zaman pandemik COVID-19, namun kemudian dilepaskan atas dasar ihsan.
Dulu saya jual tisu, sewaktu itu zaman COVID.
Duit tak ada, dan kedai semua tutup.
Selepas itu saya tak ada buat apa, selama lima hingga sepuluh bulan macam itu.
Ada polis tangkap saya dengan ayah saya juga.
Tapi dia kasihan, dia tolong lepaskan kami.
Menurutnya lagi, kini dia membantu keluarganya mencari rezeki dengan menjual mangga.
Sekarang saya tolong mak jual mangga.
Ayah saya beli buah dan mak yang potong, selepas itu saya jual.
Ada sahaja rezeki, kalau jalan-jalan merayu, mesti dapat pelanggan yang nak beli.
Saya memang suka jual macam ini, sebab suka jalan-jalan.
Saya orang susah, kalau tak keluar, susah untuk dapat makan.
Saya nak meniaga lagi besar nanti.
Bukan hanya menjual mangga sahaja, nanti ada tukar-tukar benda jualan, macam keropok lekor.
Dalam masa sama, Hafiz turut menyifatkan kedua ibu bapanya sebagai insan paling disayangi dalam hidupnya serta menjadi sumber kekuatan untuk dia terus berjuang.
Dalam dunia ini, saya suka mak ayah sahaja.
Sebab ikut mak ayah tak ada yang salah.
Sekadar info, Hafiz berniaga di kawasan sekitar Bandar Seri Putra (BSP), Bangi.
Sumber: TikTok








