Pelakon, Fadhli Masoot mengakui tawaran lakonannya tidak semeriah rakan seangkatan lain meskipun sudah hampir sedekad berada dalam industri hiburan tanah air.

Artikel Berkaitan: ‘Mungkin Ada Benda Yang Amir Perlu Tengok Balik Pada Diri Dia..’ – Fadhli Masoot

Tawaran berlakon

Fadhli, 30, berkata, dia jarang menerima tawaran lakonan secara konsisten seperti pelakon lain, namun tetap bersyukur kerana rezekinya kini lebih banyak tertumpu kepada naskhah filem.

Tawaran berlakon saya tidak serancak rakan-rakan lain. Ada antara mereka dalam sebulan boleh dapat dua atau tiga tawaran berlakon.

Tetapi saya pula boleh dikatakan sebulan mungkin sekali sahaja dapat tawaran. Cuma saya rasa sekarang Allah aturkan rezeki saya lebih kepada filem.

Kebanyakannya datang selepas saya habis satu-satu naskhah. Alhamdulillah, walaupun tidak terlalu banyak, tawaran berlakon itu tetap tidak pernah putus.

Fadhli berkata demikian ketika ditemui pada sidang media filem HAK: Tuntut atau Tunduk yang berlangsung di sekitar ibu kota, baru-baru ini.

Dalam masa sama, aktor itu memberitahu kerjayanya kini tidak hanya tertumpu kepada bidang lakonan semata-mata kerana dia sudah mula meneroka dunia pengarahan.

Katanya, setiap kali tidak mempunyai komitmen penggambaran, dia akan mengambil peluang untuk melakukan kerja belakang tabir selain menambah ilmu dalam bidang kreatif.

Kalau tiada tawaran berlakon, saya akan buat kerja sendiri seperti mengarah muzik video dan sebagainya. Bila ada banyak masa lapang, saya gunakan untuk belajar dan tambah ilmu.

Bagaimanapun, Fadhli menganggap dirinya mungkin kurang menyerlah dalam industri kerana bergerak sendiri tanpa pengurus atau syarikat pengurusan artis.

Untuk dapatkan kerja itu sebenarnya tidak susah sebab tawaran memang ada. Tetapi mungkin sebab saya bergerak sendiri dan tiada pengurus. Saya pula jenis segan hendak mendekati orang industri terutama golongan atasan.

Masa awal pembabitan dulu, saya banyak hantar resume ke syarikat produksi, tetapi tiada maklum balas. Mungkin belum ada rezeki lagi. Saya serahkan semuanya kepada aturan Tuhan. Kalau sudah tertulis, pasti akan jadi.

Saya juga tidak pernah nak melobi kerja di media sosial seperti Threads atau sebagainya. Telefon terus pengarah atau penerbit minta job pun tak pernah. Saya tunggu dihubungi untuk ditawarkan kerja itu datang.

Selain Fadhli, filem HAK: Tuntut atau Tunduk turut dibintangi Syafiq Kyle, Beto Kusyairy, Mimi Lana dan Fizz Fairuz.