Penyanyi, Ziana Zain memilih untuk tidak lagi mengambil tahu mengenai kehidupan bekas suaminya, Armin Zaharin Ahmad Jasmin, termasuk khabar angin mengenai perkahwinan lelaki itu.

Artikel Berkaitan: Ziana Zain Ulas Desas-Desus Gelaran ‘Datuk’ – ‘Kena Ada Class, Biar Gelaran Itu Datang Dekat Kita’

Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Jangan Kedekut Dengan Ibu Bapa, Walaupun Dah Tak Serumah.. Berilah Sesuatu Tanda Ingatan’ – Ziana Zain

Bawa haluan masing-masing

Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 58, berkata kisah bekas suaminya itu bukan lagi sesuatu yang ingin diambil peduli memandangkan masing-masing sudah membawa haluan sendiri sejak sekian lama.

Jelas Ziana, dia juga tidak mempunyai sebarang keperluan untuk memberi komen mengenai perkara tersebut kerana kini hanya mahu memberi tumpuan kepada kehidupan sendiri.

Saya tidak mempunyai sebarang komen mengenai perkara itu. Saya sudah mempunyai kehidupan sendiri dan dia juga mempunyai kehidupan dia.

Saya tidak mahu tahu apa-apa pun mengenai perkara tersebut. Dia tidak ada dalam hidup saya lagi dan semua orang sudah meneruskan kehidupan masing-masing.

Ziana berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Muzik Lab: Hab Kreatif AJL40 yang berlangsung di McDonald’s Pandu Lalu Pantai Sentral, Pantai Dalam, baru-baru ini.

Bercerita lanjut, penyanyi lagu Tiada Kepastian itu mengakui kehidupannya ketika ini berada dalam fasa yang cukup membahagiakan apabila dikelilingi anak-anak serta rezeki kerjaya yang semakin baik.

Mengulas sama ada sudah bersedia untuk membuka hati kepada insan baharu, Ziana berkata perkara itu bukan keutamaan buat masa ini kerana fokus utamanya adalah terhadap keluarga.

Alhamdulillah, sekarang Allah memberikan rezeki dan kerjaya yang sangat baik kepada saya. Bagi saya, kebahagiaan itu yang paling utama dan itu sudah mencukupi.

Jika ditanya pada waktu sekarang, saya tidak memerlukannya kerana tumpuan saya lebih kepada anak-anak. Namun, saya tidak boleh melawan takdir di hadapan dan hanya meminta yang baik-baik sahaja daripada Allah.

Terdahulu, Armin Zaharin dilaporkan telah selamat mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan wanita pilihannya yang dikenali sebagai Zety dalam satu majlis akad nikah yang diadakan secara tertutup.

Untuk rekod, Ziana dan Armin berkahwin pada 9 Mei 1998 sebelum sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018 selepas mendirikan rumah tangga selama lebih 20 tahun.