
Di hadapan kamera, kehidupan seorang selebriti sering kelihatan mewah. Wajah mereka muncul di televisyen, menghadiri acara besar dan menerima pelbagai tawaran kerjasama daripada jenama terkenal. Namun, populariti tidak semestinya membawa pendapatan yang tetap.
Berbeza dengan pekerjaan bergaji bulanan, kebanyakan penggiat seni menerima bayaran berdasarkan projek. Selepas penggambaran, persembahan atau kempen promosi berakhir, mereka perlu menunggu tawaran seterusnya.
Jumlah pekerjaan pula boleh berubah mengikut populariti, keadaan ekonomi, kemunculan bakat baharu dan permintaan penerbit. Situasi ini menyebabkan ramai selebriti mula membina sumber pendapatan lain sebelum tawaran seni semakin berkurangan.
Oleh itu, tidak pelik apabila semakin ramai pelakon, penyanyi dan pelawak tempatan memilih untuk menjadi usahawan.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Aeril Zafrel Imbas Kembali Rasa Teruja Peroleh Untung RM200k – ‘Saya Rolling Balik Untuk Bisnes’
Artikel Berkaitan: Hayla Berjaya Catat Jualan Kek Batik RM100,000 Dalam Sebulan! Wawa Zainal & Aeril Zafrel Hadiahkan Kedai
Populariti menjadi modal pertama
Selebriti mempunyai satu kelebihan besar ketika memulakan perniagaan, iaitu perhatian netizen. Mereka sudah mempunyai pengikut di media sosial, dikenali oleh media dan lebih mudah memperkenalkan produk kepada orang ramai.
Namun, populariti hanya membantu pada peringkat awal. Pelanggan mungkin membeli kerana tertarik dengan nama selebriti, tetapi mereka tidak semestinya akan kembali sekiranya produk tidak berkualiti, perkhidmatan mengecewakan atau harga tidak setanding dengan nilai yang ditawarkan.
Seperti contoh, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, kerjaya seninya tetap teguh walaupun sudah 30 tahun berada dalam industri hiburan. Siti mengembangkan lagi empayarnya dengan membina jenama kecantikan SimplySiti dan sehingga kini, dunia seni serta perniagaan Siti berkembang maju seiring.
Selain itu, ramai lagi selebriti yang melibatkan diri dalam dunia perniagaan, seperti contoh Wawa Zainal & Aeril Zafrel (kosmetik), Mila Jirin (industri perkahwinan), Norman Hakim & Memey Suhaiza (Pakaian), Shuib dan Ajak Shiro (F&B).
Perniagaan Bukan Bukti Kerjaya Seni Sudah Gagal
Keputusan selebriti membuka perniagaan tidak semestinya bermaksud industri hiburan sudah tidak menguntungkan. Pelakon dan penyanyi yang aktif masih boleh memperoleh pendapatan melalui lakonan, persembahan, pengacaraan, royalti, kempen iklan dan kandungan digital.
Masalahnya ialah pendapatan tersebut tidak sentiasa dapat dijangka. Sebuah drama popular mungkin meningkatkan nilai seseorang pelakon untuk beberapa bulan. Sebuah lagu viral pula boleh membawa banyak undangan persembahan. Namun, perhatian masyarakat mudah berpindah kepada wajah dan karya baharu.
Adakah Dunia Hiburan Tidak Lagi Menjamin Pendapatan?
Dunia hiburan masih boleh memberikan pendapatan besar, tetapi ia tidak menjanjikan kestabilan kepada semua orang.
Populariti mempunyai tempoh tertentu. Tawaran boleh datang dengan banyak pada satu masa sebelum berkurangan tanpa amaran. Pada masa yang sama, komitmen kewangan seperti rumah, kenderaan, pekerja dan keluarga tetap perlu dibayar.
Bagi selebriti seperti Siti Nurhaliza, Wawa Zainal, Aeril Zafrel, Mila Jirin dan Shuib, perniagaan menjadi satu cara untuk menukar populariti kepada sesuatu yang lebih panjang jangka hayatnya.








