Pelakon Azhan Rani meluahkan rasa bimbang apabila kucing kesayangannya, Kilau dilaporkan hilang dari rumah sejak awal pagi.

Artikel Berkaitan: Azhan Rani Sambut Syawal Dengan T-Shirt Sejak Pemergian Bapa – ‘Saya Pakai Baju Melayu Untuk Kerja Je’

Kilau hilang

Ketika ditemui OhBulan!, Azhan berkata dia hanya menyedari kehilangan kucing baka British Longhair itu sekitar pukul 4 pagi apabila mendapati pintu ruang tempat Kilau berada telah terbuka.

Pukul 12 lebih malam tadi saya balik, dia ada dekat situ. Tempat dia tu pintu terbuka sikit. Selalunya memang situ tempat dia. Tapi malam tadi saya letih sangat, saya biarkan saja.

Lepas tu pukul 4 lebih pagi tadi saya tersentak tengok pintu dah terbuka. Dulu pun dia pernah terlepas, tapi dia masuk rumah jiran. Dia boleh turun, tapi nak naik balik tinggi sangat, dia tak boleh.

Ujar pelakon drama Nur ini lagi, Kilau kini berusia sekitar enam tahun dan merupakan salah seekor daripada dua ekor kucing peliharaannya.

Azhan berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media drama Bulan Henti Bicara yang berlangsung di Bizmilla Grand Hall, Putrajaya.

‘Sekarang memang tengah mencari lagi’

Dalam pada itu, pelakon berusia 50 tahun itu memaklumkan dia dan ahli keluarganya sedang berusaha mencari Kilau, selain sudah meminta bantuan komuniti setempat.

Sekarang memang tengah mencari lagi. Adik saya tengah usahakan. Dah masuk dalam kumpulan komuniti juga, itu saja usaha yang ada buat masa ini. 

Azhan turut merayu orang ramai yang menemui Kilau agar menghubunginya dan dia bersedia memberikan ganjaran kepada individu yang berjaya menemui kucing kesayangannya itu.

Insya-Allah, kalau saya boleh bagi, apa yang mampu saya bagi, saya bagi. Yang penting cepat balik kucing tu.

Mengulas lanjut, Azhan mengakui kehilangan haiwan peliharaan itu sangat memberi kesan kerana kucing tersebut sudah menjadi ‘penggera’ hariannya.

Dia ‘alarm’ saya. Saya tak perlukan alarm sebab setiap pukul 4 pagi dia akan kejutkan saya minta makan. Dia akan kacau muka saya sampai saya bangun.

Pagi tadi saya bangun sendiri tanpa dia. Masa itu saya rasa macam ada sesuatu yang tak kena.

Saya tengah shooting ni pun rasa tak best. Lepas habis ni saya nak sambung shooting pun saya tak tahu macam mana.