
Penyanyi, Umairah memaklumkan dia bakal memperlahankan aktiviti seni buat sementara waktu pada tahun hadapan bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Artikel Berkaitan: Umairah Cipta Sejarah ABPBH, Jadi Pemenang Paling Muda – ‘Tengok Mak Iti Menang Dulu, Buatkan Saya Terinspirasi’
Imbang akademi & kerjaya

Umairah atau nama lengkap Ummi Umairah Saiful Anuar, 16, berkata, pendidikan menjadi keutamaannya dan dia mahu memastikan persiapan menghadapi peperiksaan penting itu tidak terjejas dengan komitmen kerjaya.
Tahun depan saya akan ambil SPM, rasanya saya akan memperlahankan sedikit kerjaya seni. Mungkin kalau ada undangan buat persembahan kecil-kecilan, itu tiada masalah dan tidak ganggu jadual pembelajaran.
Macam sekarang pun, jadual persekolahan sudah kembali seperti tahun sebelum ini (takwim asal). Insya-Allah, saya dah bersedia untuk SPM.
Umairah berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana drama Viu Original Cinta Dalam Sekam dan acara What’s Next On Viu yang berlangsung di ibu negara, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Umairah berkata pelajaran tidak seharusnya dipandang remeh kerana ilmu merupakan aset paling berharga yang akan menentukan masa depan seseorang.
Apa pun, pelajaran amat penting. Orang akan pandang pelajaran dahulu, kemudian barulah perkara lain. Kalau kita tiada ilmu, orang tak akan pandang kita.
Dalam pada itu, Umairah mengakui bukan mudah untuk membahagikan masa sebagai pelajar dan anak seni, namun percaya disiplin serta pengurusan masa yang baik mampu membantunya mengimbangi dua tanggungjawab tersebut.
Proses ini kita tak boleh anggap mudah sebab akademik memang mencabar. Tapi, apa-apapun kita kena usahalah.
Pengurusan yang akan urus dan tengok show tertentu, saya akan minta pelepasan selepas waktu sekolah. Setakat ini tak ganggu persekolahan, tak pernah ponteng lagi.
Walau macam mana pun, saya tetap kena seimbangkan antara akademik dan kerjaya.
Dalam perkembangan lain, Umairah baru sahaja melancarkan dua single terbaharunya berjudul Hujung Indah dan Pugar.








