Isu perubahan iklim sekarang ni memang bukan perkara main-main. Sama ada sedar atau tidak, kesannya makin jelas terasa kat kehidupan seharian kita.

Disebabkan itu, seluruh dunia sekarang tengah berlumba-lumba nak capai sasaran pelepasan karbon sifar bersih dan Malaysia juga tidak ketinggalan!

Walaupun sumbangan pelepasan karbon negara kita hanyalah sekitar 0.8 peratus sahaja di peringkat global, Malaysia tetap komited dan mengambil tanggungjawab ini secara serius menerusi pelbagai dasar serta program mampan.

Antara fokus utama? Sudah semestinya sektor tenaga!

Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) fokuskan kepada tenaga boleh baharu (TBB) serta kecekapan tenaga

Bila sebut bab tenaga bersih, mesti ramai yang terus terbayang panel solar kan?

Memang betul, menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Malaysia menyasarkan 70% kapasiti tenaga menjelang tahun 2050 datang daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB).

Tapi korang tahu tak, ada satu lagi pemangkin penting yang ramai terlepas pandang? Pemangkin tersebut ialah Kecekapan Tenaga (Energy Efficiency)!

Tenaga Boleh Baharu (TBB) memastikan sumber tenaga yang kita guna adalah bersih dan rendah karbon manakala kecekapan tenaga memastikan setiap tenaga yang dijana diguna secara optimum dengan pembaziran paling minima.

Haa… ramai yang selalu keliru dan ingat dua benda ni sama. Hakikatnya, kalau rumah atau pejabat korang pasang solar sekalipun, tapi elektrik tetap terbiar membazir, itu bukan amalan kecekapan tenaga!

Akta EECA 2024: Potensi penjimatan bil utiliti RM97.1 bilion!

Bagi memperkasakan agenda ini, kerajaan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah menguatkuasakan Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga (EECA) 2024 sejak awal tahun 2025.

Untuk pengetahuan, impak akta ini bakal menawarkan pulangan yang luar biasa! Mana tidaknya, menjelang tahun 2050, pelaksanaan EECA 2024 diunjurkan bakal menawarkan hasil seperti berikut:

  • Penjimatan Tenaga: 2,017 juta gigajoule
  • Penjimatan Bil Utiliti: RM97.1 bilion!
  • Pengurangan Karbon: Elak pelepasan sebanyak 197,877 kilotan

Angka penjimatan yang besar ni membuktikan kenapa kita semua perlu utamakan kecekapan tenaga dulu sebagai langkah pertama sebelum buat usaha penyahkarbonan yang lain.

Bermula dari rumah dan perubahan minda kita

Mahu atau tidak, segalanya bermula daripada kesedaran individu, komuniti perniagaan sehinggalah organisasi besar.

PETRA meletakkan harapan tinggi agar penguatkuasaan EECA 2024 ini mampu mencetuskan gelombang transformasi baharu dalam landskap tenaga negara.

Antara fokus dan harapan utama ke arah masa depan mampan adalah penggunaan tenaga secara cekap menjadi gaya hidup seharian rakyat Malaysia.

Dari sudut ekonomi, lebih banyak projek kecekapan tenaga dilaksanakan dalam sektor perniagaan dan awam sekaligus memberi impak kepada institusi kewangan dalam menyediakan pembiayaan khas untuk projek-projek berkaitan kecekapan tenaga.

Usaha penyahkarbonan ini takkan berjaya tanpa sokongan padu daripada segenap lapisan masyarakat.

Ayuh kita ubah minda dan jadikan kecekapan tenaga sebagai keutamaan nasional demi masa depan Malaysia yang lebih hijau, mampan dan berdaya tahan!