
Anugerah Juara Lagu 40 (AJL40) mencatat pencapaian luar biasa apabila merekodkan lima bilion tontonan kumulatif merentas pelbagai platform, sekali gus membuktikan sambutan hebat terhadap pentas berprestij itu selepas empat dekad.
Artikel Berkaitan: AJL40: Elica Paujin Perjelas Muncul Lambat Ketika Persembahan Ryenald Guntabid – ‘Disengajakan, Bukan Sebab Saya Pergi Tandas’
Artikel Berkaitan: Raih Tempat Ketiga AJL40, Ryenald Guntabid Pertimbang Berpindah Ke Kuala Lumpur – ‘89.71 Peratus Pasti’
AJL40: 5 bilion tontonan

Daripada jumlah tersebut, AJL40 merekodkan 12.9 juta tontonan siaran langsung, 43.8 juta tontonan media sosial serta 4.9 bilion keterlibatan tular berdasarkan data Nielsen Audience Measurement, Tonton, Unifi, TikTok Analytics, Zanroo dan Meltwater.
AJL40 yang mengangkat tema ‘Meraikan 4 Dekad: Evolusi dan Masa Depan Muzik Malaysia’ turut menyaksikan pelbagai persembahan istimewa di bawah pimpinan Pengarah Muzik, Aubrey Suwito.
Dalam kemeriahan pentas ulang tahun ke-40 itu, K.O.I muncul sebagai juara menerusi lagu Tiwikarma dan membawa pulang hadiah RM100,000 berserta trofi.
Tiwikarma merupakan karya ciptaan Zai Hamzah dan Hemo Globin, manakala liriknya ditulis oleh Achoi Floor 88, Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana dan Sapik Sam.
Tempat kedua menjadi milik Aisha Retno menerusi Tak Adil, yang melayakkannya menerima RM50,000 berserta trofi, manakala Ryenald Guntabid menduduki tempat ketiga menerusi Lumangad Oku Dika dengan hadiah RM30,000 dan trofi.
Sementara itu, Marsha Milan dinobatkan sebagai penerima Vokal Terbaik menerusi Tangisan Seorang Pendosa dan membawa pulang RM12,000 serta trofi.
Aina Abdul pula mencipta kejayaan berganda apabila lagu Kamu dinobatkan sebagai Persembahan Terbaik, selain menerima Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee hasil undian peminat.
Menerusi Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee, Aina membawa pulang RM50,000, trofi eksklusif serta kontrak sebagai Duta Kempen Shopee. Tidak terhenti di situ, Aina turut diumumkan sebagai wakil Malaysia ke Eurovision Song Contest Asia 2026 menerusi lagu Kamu.
AJL40 terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pentas muzik utama negara yang meraikan evolusi muzik Malaysia dari generasi ke generasi.
AJL40 dibawakan oleh McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia) sebagai badan kebajikan pilihan, dengan Shopee sebagai Rakan E-Commerce, Grab sebagai Rakan E-Hailing Rasmi, Unifi sebagai Rakan Telekomunikasi dan Volvo sebagai Rakan Selamat.






![[VIDEO] Khairul Aming Nasihat Farah Dina Rancang Kerjaya, Kewangan – ‘Tak Nak One-Hit Viral, Kita Nak Sustain Lama’](https://asset.ohbulan.com/2026/08/IMG_6309.jpeg)
