Penyanyi kelahiran Singapura, Ryzall Noh membuktikan faktor usia bukan penghalang untuknya melangkah lebih jauh apabila memilih meneruskan perjalanan seni sebagai penyanyi solo.

Artikel Berkaitan: Ryzall Noh Pertaruh ‘Natijah Cinta’, Lagu Patah Hati Paling Jujur – ‘Realiti Sebuah Hubungan’

Bergerak solo

Ketika ditemui OhBulan!, Ryzall akui perjalanan sebagai penyanyi solo lebih mudah berbanding bergerak secara berkumpulan yang berdepan pelbagai komitmen dan cabaran tersendiri.

Tambah Ryzall, keputusan untuk meneruskan perjalanan sebagai artis solo turut didorong dengan kesedaran bahawa usia yang semakin meningkat.

Secara peribadi lebih senang sebagai artis solo. Dulu kita ada lima kepala (kumpulan) dan saya ketua.

Perkara itu agak sukar apabila masing-masing ada masalah tersendiri.

Dengan bergerak solo ini, saya harap lagu-lagu saya dapat menyentuh pendengar dan suka karya saya.

Saya nekad untuk bergerak solo kerana faktor umur.

Ryzall berkata demikian ketika ditemui di Balai Berita, Bangsar pada Khamis.

Dalam pada itu, Ryzall menyifatkan single terbaharunya sebagai titik permulaan baharu dalam perjalanan solonya yang membawa karya yang penuh jiwa.

Mungkin ini tepat pada waktunya. Saya jadikan Natijah Cinta ini sebagai jambatan agar lebih ramai kenal muzik saya. Sebuah karya yang penuh jiwa. Tiada elemen tiruan atau moden dalam pembikinan lagu ini.

Untuk suara pun saya tidak ketengahkan teknikal atau nota tinggi. Kali ini saya jual ton suara agar orang kenal karya saya.

Ditawar masuk program nyanyian

Berkongsi lebih lanjut, Ryzall mendedahkan pernah menerima tawaran menyertai program realiti nyanyian sebanyak dua kali namun memilih untuk menolaknya kerana akui belum bersedia untuk berdepan cabaran tersebut.

Saya pernah ditawar untuk memasuki program nyanyian namun secara tidak rasmi. Saya rasa belum waktunya. Program nyanyian pada saya adalah ibarat peluang kedua.

Untuk saya, saya tiada apa-apa. Saya belum bersedia untuk bertanding di program nyanyian. Kalau Natijah Cinta ini diterima ramai, baru orang kenal saya.

Kalau setakat kertas kosong seperti saya, perkara ini memerlukan strategi yang agak sukar untuk pastikan orang ramai kenal saya.