
Bergelar pelakon tidak bermaksud seseorang perlu sentiasa berada di depan kamera atau hanya bergantung kepada tawaran lakonan sebagai sumber pendapatan.
Itu pendirian pelakon muda Nataaliyah atau Aaliyah Natasha yang baru-baru ini menarik perhatian selepas meluahkan rasa terkilan apabila pekerjaannya sebagai pembantu peribadi (PA) ketika tidak mempunyai komitmen lakonan dipersoalkan.
Menerusi satu hantaran di Threads, Nataaliyah mempersoalkan mengapa dirinya perlu dipandang serong kerana melakukan pekerjaan tersebut sebagai side hustle, sedangkan menurutnya ada juga pelakon lain yang memilih melakukan perkara sama ketika tidak menjalani penggambaran.
ARTIKEL LAIN: Artis Atau Influencer, Siapa Sebenarnya Lagi ‘Mahal’ Sekarang? 7 Perubahan Yang Buat Sempadan Dua Dunia Ini Semakin Kabur
ARTIKEL LAIN: Selebriti Dah Tak Boleh Jadi Misteri? 6 Sebab Artis Seolah-Olah Perlu Berkongsi Kehidupan Peribadi Dengan Peminat
Mahu Pecahkan Stereotaip
Gadis berusia 24 tahun itu turut menjelaskan sepanjang bekerja di set, tugasnya bukan sekadar membantu pelakon, malah dia turut memikirkan idea kandungan bagi tujuan promosi.

Menurut Nataaliyah, usaha tersebut pernah mendapat pujian daripada individu yang terlibat dalam bahagian pemasaran produksi.
Namun di sebalik luahan itu, Nataaliyah sebenarnya mahu membawa satu persoalan yang lebih besar.
Salahkah seorang pelakon melakukan pekerjaan lain sementara masih berusaha membina nama dalam industri?
Ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Pemuja Syaitan sebentar tadi, pemilik nama penuh Nur Aaliyah Natasha Farouk itu berharap masyarakat termasuk pihak dalam industri dapat membuang persepsi seseorang hanya boleh melakukan satu jenis pekerjaan.
Baginya, realiti seorang pelakon yang masih membina kerjaya tidak semestinya seindah apa yang dilihat di media sosial.
“Saya harap masyarakat atau mana-mana pihak di luar sana boleh pecahkan stereotaip seseorang hanya boleh buat satu kerja sahaja.
“Sebagai pelakon yang masih cuba membina nama dan mencari tempat dalam industri, ia bukan mudah, lebih-lebih lagi sebagai perempuan.
“Orang lain tidak berada dalam kasut saya, jadi mereka tak tahu struggle yang saya lalui setiap hari untuk survive,” katanya.
Ditanya mengenai cabaran yang dimaksudkan, pelakon drama bersiri Cinta Dalam Sekam ini secara terbuka menyebut ketidakstabilan kewangan sebagai antara realiti yang perlu dihadapinya.
Justeru, melakukan kerja sebagai PA atau kru ketika tiada tawaran lakonan bukan sesuatu yang dianggap memalukan.
Suka Jadi Pelakon & Kru
Menurut Nataaliyah, dia pernah menerima pandangan seolah-olah seseorang perlu memilih antara menjadi pelakon atau bekerja sebagai kru. Namun perspektif itu tidak selari dengan cara dia melihat industri seni.
“Pernah ada yang cakap, kalau nak jadi pelakon, jadi pelakon. Kalau nak jadi kru, jadi kru.
“Tapi saya suka kedua-duanya sebab saya jujur dan ikhlas dengan karya yang saya buat. Saya juga tak kisah tentang kedudukan atau hierarki.
“Kadang-kadang orang melihat bila jadi pelakon, kita kena sentiasa nampak glamour. Bagi saya, kerja orang di belakang tabir pun sangat penting untuk menjayakan sesuatu projek,” jelasnya.
Malah, Nataaliyah menegaskan yang melakukan pekerjaan sebagai PA tidak pernah membuatkan dirinya berasa rendah atau malu.

Sebaliknya, dia melihatnya sebagai satu bentuk rezeki yang diperoleh melalui usaha sendiri.
“Saya tak rasa tersinggung atau rasa kerja itu menjatuhkan saya. Itu rezeki halal.
“Saya kerja di belakang tabir dan bantu orang dengan ikhlas. Mana tahu Tuhan akan permudahkan pula perjalanan saya bila sampai masa untuk saya berada di depan kamera,” katanya.
Bukan Sekadar Cari Duit
Bekerja di belakang kamera juga memberikan Nataaliyah pengalaman yang berbeza daripada dunia lakonan.
Menurutnya, dia pernah terlibat dalam bahagian casting untuk Kudrat 1968, sekali gus membuka matanya terhadap pelbagai tugasan yang perlu dilakukan sebelum seseorang pelakon berada di set.
Antaranya termasuk menyediakan keperluan talent, memahami call time, mengurus jadual dan berhubung dengan pengurus artis.
“Saya banyak belajar daripada casting team. Kita kena tahu apa yang talent perlukan, kena faham call time, jadual mereka dan kena berhubung dengan manager.
“Memang banyak kerja, tetapi saya suka melatih diri untuk bekerja dalam keadaan pressure dan fast-paced dalam industri,” katanya.
Pengalaman itu juga bersesuaian dengan latar belakang Nataaliyah yang merupakan seorang yang mempunyai minat terhadap bidang pembikinan filem.
Bagi Nataaliyah, bekerja di depan dan belakang kamera membolehkannya memahami proses menghasilkan sesebuah karya daripada sudut yang lebih luas.
Bagaimanapun, kerja sebagai PA atau kru bukan bermaksud Nataaliyah mahu meninggalkan bidang lakonan.
Sekiranya menerima lebih banyak tawaran berlakon pada masa hadapan, dia mengakui akan mengurangkan kerja di belakang tabir dan hanya melakukannya ketika mempunyai masa terluang.
“Kalau tawaran lakonan semakin banyak, saya akan slow down kerja kru.
“Saya akan buat kerja belakang tabir apabila saya tak bekerja atau memang ada masa lapang. Sekarang pun saya tak buat sebab sedang fokus untuk promosi filem Pemuja Syaitan,” katanya.
Pemuja Syaitan Jadi Langkah Seterusnya
Kini, perhatian Nataaliyah tertumpu kepada filem seram terbaharunya, Pemuja Syaitan, arahan Liyana Jasmay. Filem terbitan Mermaid Studios bersama Suraya Filem Production & Distribution dengan kerjasama Skop Productions selaku pengedar dan Primeworks Studios selaku rakan pemasaran itu bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 15 Oktober 2026.
Dalam filem tersebut, Nataaliyah membawa watak Amira, seorang gadis yang clingy dengan teman lelaki, agak clumsy dan bersikap sambil lewa tanpa terlalu memikirkan akibat daripada tindakannya sehingga satu kejadian berlaku terhadap dirinya.

Secara keseluruhan, Pemuja Syaitan mengisahkan sekumpulan bekas rakan sekolah yang kembali berkumpul di sebuah pulau terpencil untuk mengimbau kenangan lama. Namun pertemuan itu berubah apabila mereka menemui semula sebuah kapsul masa yang ditanam bertahun-tahun lalu sehingga membuka kembali rahsia yang selama ini tersimpan.
Filem tersebut diterajui Zul Ariffin, Elizabeth Tan, Nadhir Nasar dan Aila Azizul, selain menampilkan Nataaliyah bersama Ellyza Azizi, Aida Amron, Dhabita Auji dan ramai lagi.
Jika kerja di belakang tabir memberinya pengalaman untuk memahami industri, Nataaliyah pula mempunyai sasaran tersendiri apabila berada di depan kamera.
Daripada seorang pelajar, pelakon, pekerja produksi sehingga tampil dalam sebuah filem, perjalanan Nataaliyah menunjukkan yang seorang anak seni tidak semestinya perlu mengehadkan dirinya kepada satu pekerjaan sahaja.
Kerana ketika tawaran lakonan belum datang tanpa henti, mencari rezeki melalui pekerjaan lain tidak semestinya bermaksud impian menjadi pelakon sudah berubah.
Kadangkala, pengalaman di belakang tabir juga boleh menjadi sebahagian daripada proses untuk seseorang lebih bersedia apabila peluang di depan kamera tiba.








