
Suara sedap mungkin boleh membawa seseorang masuk ke program realiti. Tetapi untuk keluar sebagai bintang? Itu cerita lain.
Kalau kita kembali kepada zaman awal program realiti nyanyian, persepsi penonton cukup mudah: siapa paling sedap menyanyi, dialah yang paling layak menang. Hari ini, formula itu nampaknya tidak lagi semudah itu.
Peserta bukan sahaja perlu mempunyai vokal yang bagus. Mereka perlu ada identiti. Ada karakter. Boleh menguasai pentas. Boleh berkomunikasi. Ada daya tarikan di media sosial. Lebih penting, mereka perlu mempunyai sesuatu yang mampu membuatkan orang mahu terus mengikuti mereka selepas program berakhir.
Dalam bahasa industri, semua ini boleh diringkaskan kepada satu perkataan iaitu marketability. Jadi, adakah program realiti nyanyian hari ini sudah tidak mencari penyanyi terbaik? Tidak semestinya. Sebaliknya, maksud ‘artis terbaik’ itu sendiri sudah berubah.
Artikel Berkaitan: 5 Artis Yang Berjaya Tebus Semula Zaman Kegemilangan Menerusi Program Realiti
Artikel Berkaitan: 5 Penyanyi Yang Tak Bergelar Juara, Tetapi Lebih Bersinar
Suara Sedap Kini Mungkin Sekadar ‘Tiket Masuk’
Satu contoh paling jelas dapat dilihat menerusi Big Stage X Rocketfuel 2026. Pada peringkat akhir pertandingan itu, sistem pemarkahan menggabungkan 70 peratus markah juri dan 30 peratus undian peminat.
Apa yang menarik, Naib Presiden Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad menjelaskan undian peminat turut diambil kira bagi melihat marketability dan tahap penerimaan peserta dalam kalangan peminat, selain penilaian terhadap kemampuan vokal mereka.
Ini memberi gambaran tentang perubahan besar dalam cara bakat baharu dinilai. Vokal masih penting. Tetapi vokal sahaja tidak semestinya cukup untuk menentukan sama ada seseorang peserta mempunyai peluang untuk menjadi artis yang mampu bertahan selepas pertandingan.
Program Realiti Kini Jadi ‘Market Test’ Secara Langsung
Di sinilah fungsi program realiti mungkin sudah berubah. Ia bukan lagi sekadar pertandingan mencari siapa mampu mencapai nota paling tinggi atau mempunyai teknik vokal paling sempurna.
Program realiti juga boleh menjadi sejenis ujian pasaran secara langsung. Bayangkan seorang peserta mempunyai vokal hebat tetapi sukar membina hubungan dengan penonton.
Seorang lagi mungkin tidak mempunyai vokal paling teknikal, tetapi mempunyai identiti tersendiri, mudah diingati, mempunyai komuniti peminat aktif dan setiap persembahannya menjadi bahan perbualan di media sosial.
Dari sudut industri, persoalannya bukan lagi hanya, ‘siapa penyanyi lebih bagus? tetapi turut menjadi, ‘siapa yang orang mahu tengok lagi selepas rancangan ini habis?’
Format Calpis Soda One In A Million pada 2024 dan 2025 juga menunjukkan betapa besarnya peranan khalayak dalam menentukan perjalanan peserta.
Keputusan pertandingan menggunakan kombinasi 60 peratus markah juri profesional dan 40 peratus undian penonton, termasuk ketika pentas akhirnya.
Maknanya, hampir separuh daripada keputusan akhir dipengaruhi oleh kemampuan seseorang peserta mendapatkan sokongan khalayak.
Ini tidak bermaksud peserta popular secara automatik lebih berbakat. Tetapi dalam industri muzik sebenar, keupayaan mendapatkan pendengar dan membina fanbase memang mempunyai nilai komersial.
Malah, Ada Program Yang Letak ‘Showmanship’ Mengatasi Vokal
Contoh lebih ekstrem pernah ditunjukkan menerusi The Hardest Singing Show. Ketika Astro memperkenalkan program tersebut, produksi secara terbuka menyatakan bahawa pertandingan berkenaan mempertaruhkan showmanship sebagai kriteria utama penjurian, diikuti vokal.
Peserta turut perlu mencipta satu ‘wow moment’ menerusi kreativiti persembahan mereka.
Ini menunjukkan satu realiti menarik. Dalam sesetengah format pertandingan moden, menyanyi dengan sempurna tidak lagi menjadi satu-satunya objektif. Penonton mahu persembahan.
Dan dalam era TikTok, Reels dan video pendek, satu persembahan mungkin mempunyai hayat jauh lebih panjang di media sosial berbanding ketika ia pertama kali disiarkan di televisyen.
XTRA XSTAR Juga Tunjukkan Formula Yang Sama
Trend sama boleh dilihat dalam pencarian bakat yang bermula secara digital. Untuk XTRA XSTAR 2025, peserta bukan hanya perlu menunjukkan kemampuan nyanyian tetapi turut menonjolkan kreativiti dan personaliti menerusi video tugasan sepanjang kempen.
Pemenang juga diberikan peluang bernaung di bawah syarikat rakaman Alternate Records & Talents. Malah, laporan tahunan Media Prima bagi FY2025 menunjukkan bagaimana format digital semakin memainkan peranan dalam pencarian bakat.
XTRA XSTAR 2024, yang dijalankan berasaskan TikTok, merekodkan sekitar 2.6 juta tontonan video dan hampir 59,000 undian, manakala kempen One in a Million LIVE pula menerima lebih 50,000 penyertaan awam menerusi pendekatan digital.
Tapi Sebenarnya Konsep ‘Pakej Lengkap’ Bukan Benda Baharu
Menariknya, idea mencari lebih daripada sekadar suara sebenarnya sudah lama wujud. Seawal sesi uji bakat Akademi Fantasia 8 pada 2009, produksi memperkenalkan proses uji bakat lebih ketat termasuk ujian personaliti bagi memastikan peserta yang dipilih mempunyai ‘pakej seorang penghibur’.
Jadi, industri bukan tiba-tiba berhenti mencari penyanyi hebat. Apa yang berubah ialah berapa banyak perkara lain yang kini boleh diukur.
Dahulu, personaliti dinilai melalui sesi uji bakat dan bagaimana peserta membawa diri di dalam akademi. Hari ini kita mempunyai jumlah undian.
Perkara dan elemen penting seperti tontonan, pengikut di media sosial, engagement, fan edits memberikan industri data untuk melihat bukan sahaja siapa yang boleh menyanyi tetapi siapa yang sudah mula mempunyai pasaran.
Popular Tak Semestinya Paling Bagus Menyanyi
Namun, di sinilah timbul dilema program realiti moden. Apabila undian peminat menjadi sebahagian daripada keputusan, pertandingan tidak lagi menjadi ujian vokal sepenuhnya.
Peserta dengan fandom lebih kuat berpotensi memperoleh kelebihan. Seseorang juga boleh menjadi perhatian kerana personaliti, rupa, storyline atau momen viral walaupun peserta lain mempunyai kemampuan teknikal vokal lebih tinggi.
Tetapi mungkin itulah perkara yang hendak diuji oleh sesetengah program kerana selepas pertandingan berakhir, industri muzik sebenar juga tidak memberikan kejayaan berdasarkan markah vokal.
Tetapi Jangan Salah Faham, Vokal Belum ‘Mati’
Pada masa sama, tidak adil mengatakan semua rancangan realiti kini lebih mementingkan populariti daripada kemampuan menyanyi. Format berbeza mempunyai objektif berbeza.
Contohnya, Singer 2026: Malaysia Edition secara jelas mengekalkan konsep pertandingan profesional yang menekankan persembahan vokal secara langsung dan menggunakan panel pendengar awam untuk menentukan kedudukan penyanyi. Ini menunjukkan masih ada ruang untuk program yang menjadikan kemampuan muzik sebagai pusat pertandingan.
Begitu juga Raise The Star Malaysia pada 2025 yang mempertemukan penyanyi baharu dengan komposer seperti Ajai, Audi Mok, Aina Abdul, Shila Amzah dan Ikhwan Fatanna untuk mencari bakat serta membangunkan karya yang boleh membawa mereka memasuki industri selepas pertandingan.
Jadi, bukan vokal sudah tidak penting. Sebaliknya, vokal kini menjadi salah satu komponen dalam ekosistem yang jauh lebih besar.
Reality Show Tak Cari Penyanyi Terbaik Lagi?
Mereka masih mencari penyanyi yang bagus, tetapi mereka juga perlu mencari seseorang yang mampu menjadi artis. Dalam industri hari ini, suara sahaja mungkin boleh membuatkan seseorang viral selama seminggu.
Tetapi untuk mempunyai kerjaya lima atau 10 tahun, artis memerlukan lagu yang betul, identiti, komuniti peminat, strategi pemasaran, disiplin, kebolehan berkomunikasi dan kemampuan menyesuaikan diri dengan perubahan platform.
Sebab itu istilah ‘boleh dijual’ tidak semestinya bermaksud seseorang artis perlu menjadi produk kosong yang dibentuk mengikut kehendak pasaran.
Program realiti dahulunya mencari suara yang boleh menang pertandingan. Tetapi hari ini semakin banyak mencari artis yang boleh hidup selepas pertandingan. Dan mungkin itulah perubahan paling besar dalam definisi seorang juara.
Sumber: Astro, Media Prima







