Penyanyi dan vokalis kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat tidak dapat menahan sebak selepas anaknya, Khalisa, disahkan berada dalam spektrum autisme oleh doktor.

Artikel Berkaitan: ‘Kami Golongan OKU Tak Minta Dilayan Seperti Raja, Cuma Harapkan Layanan Sepatutnya’ – Azmi Saat

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Azmi Saat Berang Isteri Dakwa Dilayan Kasar Pegawai Bank Di Cheras – ‘Kami Hanya Buta Bukan Bodoh’

Menitik air mata

Menerusi perkongsian di Facebook, Azmi atau nama sebenarnya Khairul Azmi Muhammad Saat, 39, berkata dia dan isteri, Nadira, sememangnya sudah menjangkakan keputusan tersebut.

Namun, pengesahan daripada doktor tetap membuatkan hati mereka luluh.

Sebenarnya kami berdua dah agak bersedia untuk mendengar jawapan itu. Kami dah membaca, bertanya dan cuba memahami tentang autisme.

Kami juga sedar Khalisa mempunyai beberapa ciri yang berkaitan dengannya. Tapi rupanya, bersedia dengan fikiran tidak semestinya membuatkan hati terus kebal.

Bila doktor mengesahkannya, menitik juga air mata kami berdua. Bukan kerana kami tidak boleh menerima Khalisa. Dia tetap Khalisa yang sama sebelum dan selepas kami keluar dari bilik doktor itu.

Menurut Azmi, kebimbangan utama ketika ini adalah mengenai masa depan anaknya, namun dia reda dan menerima segala ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Cuma sebagai ibu bapa, macam-macam perkara tentang masa depannya bermain dalam fikiran.

Kami berdua sendiri tidak dapat melihat. Tentulah jauh di sudut hati, kami pernah membayangkan perjalanan membesarkan anak yang mungkin lebih mudah. Tetapi Allah menentukan perjalanan yang lain buat kami.

Bercerita lanjut, Azmi berkata dia mula menyedari ada sesuatu yang berbeza pada perkembangan Khalisa ketika anaknya itu berusia sekitar setahun setengah terutama dari segi komunikasi.

Walaupun ketika itu belum ada apa-apa diagnosis, sebagai ibu yang ada diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak, isteri saya rasa ada sesuatu yang perlu kami beri perhatian.

Kami bawa Khalisa menjalani terapi cara kerja. Kami masukkan dia ke Early Intervention Programme (EIP). Apa yang termampu, kami cuba usahakan.

Dalam masa yang sama, kami juga sedar perkembangan dia agak perlahan berbanding kanak-kanak lain seusianya, terutama sekali dari segi komunikasi.

Bagaimanapun, Azmi bersyukur kerana dapat mengesan keadaan itu lebih awal, sekali gus membolehkannya membuat persediaan rapi bagi memastikan perkembangan anaknya mendapat perhatian yang sewajarnya.

Untuk rekod, Azmi dan Nadira mendirikan rumah tangga pada tahun 2011 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang cahaya mata bernama Khalisa.

Sumber: Facebook