
Pelakon, Rita Rudaini berkongsi pandangan peribadinya mengenai isu buli dalam kalangan pelajar, khususnya yang berlaku di sekolah berasrama penuh.
Artikel Berkaitan: Rita Rudaini Jaga Pemakanan Anak Ketika Peperiksaan – ‘Tenaga, Fokus & Minda Sangat Penting’
Ambil serius aduan pelajar

Menerusi hantaran di Threads, Rita, 50, berpendapat budaya buli dapat dihentikan dan dielakkan sekiranya pihak sekolah mengambil serius setiap aduan yang dibuat oleh mangsa.
Pada pendapat saya, kalau betul nak hentikan budaya buli di sekolah berasrama, mulakan dengan satu perkara. Percaya dan ambil serius bila mangsa datang mengadu.
Jangan tunggu sampai lebam, jangan tunggu sampai trauma, jangan tunggu sampai kes jadi besar baru nak ‘ambil perhatian’.
Bila seorang pelajar berani mengadu, itu bukan bermakna dia lembik. Itu tanda dia sedang minta pertolongan.
Tambah Rita, sekolah seharusnya menjadi tempat paling selamat untuk pelajar mendapatkan bantuan dan menyuarakan masalah yang dihadapi.
Pihak sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk mereka mengadu, bukan tempat yang membuat mereka takut untuk bersuara.
Buli membesar bila pelaku rasa mereka akan terlepas dan mangsa pula belajar bahawa lebih selamat untuk diam. Nak hentikan buli? Jangan diamkan mangsa. Jangan lindungi pelaku. Ambil tindakan dari aduan pertama.
Dalam pada itu, Rita turut mengingatkan bahawa perbuatan buli tidak semestinya bermula dengan kekerasan fizikal, sebaliknya boleh bermula menerusi kata-kata.
Buli tak semestinya bermula dengan tangan. Buli boleh bermula dari mulut, perli, kutuk, hina, ejek dan provokasi. Bila dibiarkan, kata-kata boleh bertukar menjadi pergaduhan dan pukul-memukul.
Buli tak kenal umur atau tempat. Sekolah, asrama, tempat kerja, organisasi, semua boleh berlaku. Jangan tunggu tangan naik baru nak panggil buli. Jadi jangan abaikan aduan pertama walau sekecil mana pun.
Sumber: Threads








