
Selepas hampir sedekad menghiburkan peminat sejak diperkenalkan pada 2016, francais animasi Ejen Ali bakal meraikan perjalanan tersebut menerusi sebuah pertunjukan muzik berskala besar, Ejen Ali In Concert.
Artikel Berkaitan: Dari Malaysia Ke Jakarta, Ejen Ali Warnai Kejohanan Dunia MLBB M7
Artikel Berkaitan: Sambutan Hebat! 755,083 Orang Selangor Sudah Tonton Ejen Ali The Movie 2
Ejen Ali In Concert

Terbitan Wau Animation dan Primeworks Studios, konsert berkenaan dijadual berlangsung pada 28 dan 29 November 2026 di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Ejen Ali In Concert bakal membawa runut bunyi daripada francais animasi popular itu ke pentas secara langsung dengan iringan 41 ahli orkestra KL City Opera di bawah pimpinan Pengarah Muzik, Azri Yunus.
Sebanyak 22 susunan muzik hasil gubahan Azri akan dipersembahkan dalam konsert berkenaan, selain menggabungkan elemen orkestra dan animasi bagi menghidupkan dunia Ejen Ali di atas pentas.
Menariknya, konsert ini menawarkan dua sesi persembahan yang disesuaikan untuk penonton daripada pelbagai peringkat usia.
Sesi Family Fun Day yang bermula pada jam 11 pagi menampilkan persembahan lagu-lagu popular Ejen Ali selain aktiviti interaktif bersama Ejen Ali dan rakan-rakannya.
Tiket bagi sesi berkenaan ditawarkan pada harga RM69 untuk pembelian individu, manakala pakej keluarga berharga RM200 untuk empat tiket yang merangkumi dua dewasa dan dua kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah.
Sementara itu, persembahan utama Ejen Ali In Concert pada jam 8 malam bakal menampilkan pertunjukan berskala penuh dengan iringan orkestra serta barisan vokalis asal dan artis jemputan.
Barisan penyanyi mega

Antara nama yang bakal membuat persembahan ialah Hael Husaini dan Ida Rahayu, manakala barisan artis lain akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Bagi persembahan malam, harga tiket bermula daripada RM119 untuk Kategori D, RM149 bagi Kategori C, RM238 untuk Kategori B, RM269 bagi Kategori A, RM299 untuk kategori Premium dan RM369 untuk kategori VIP.
Dalam pada itu, tiket Early Bird rasmi sudah boleh didapati menerusi WOWTIX bermula 24 September 2026.
Pembeli tiket sepanjang tempoh promosi berkenaan turut berpeluang mendapatkan cenderamata eksklusif edisi terhad.
Lebih daripada sekadar persembahan muzik, Ejen Ali In Concert menjadi sebahagian daripada sambutan sedekad perjalanan francais tersebut yang telah mencipta fenomena dalam kalangan peminat daripada pelbagai lapisan usia.
Gabungan muzik orkestra, animasi dan persembahan secara langsung itu dijangka memberikan pengalaman berbeza kepada peminat untuk mengimbas kembali perjalanan Ejen Ali sepanjang hampir 10 tahun.
Peminat yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai konsert berkenaan boleh mengikuti akaun media sosial rasmi Ejen Ali di Facebook, Instagram dan TikTok.





![[VIDEO] Kenapa Prince Syed Berpakaian Wanita? Penampilan Cetus Tanda Tanya Netizen](https://asset.ohbulan.com/2026/09/prince-syed-16.jpg)


