Bila dua pelakon mempunyai chemistry kuat dalam drama, tidak pelik jika peminat mula berharap mereka benar-benar bercinta.

Daripada sekadar gurauan fandom, ‘shipping culture’ boleh bertukar menjadi tekanan apabila setiap interaksi, gambar atau gandingan baharu mula dijadikan ‘bukti’ percintaan.

Jadi, bila sebenarnya shipping yang menyeronokkan mula menjadi pedang dua mata buat artis?

Artikel Berkaitan: Meerqeen Nafi Wujud Cinta Lokasi Dengan Qasrina Karim

Artikel Berkaitan: ‘Kami Berkawan, Sayang Sebagai Teman Sekerja’ – Hisyam Hamid Jawab Hubungan Dengan Erysha Emyra

1. Chemistry Di Skrin Mudah Disalah Anggap Sebagai Cinta Sebenar

Keserasian pelakon, Qasrina Karim dan Meerqeen menerusi drama Thariq Ridzuwan: His Treasure pernah membuatkan peminat berharap mereka bercinta di luar drama.

Namun Qasrina menjelaskan hubungan mereka hanya sebagai kawan dan menganggap reaksi tersebut sebagai tanda mereka berjaya menghidupkan watak dengan baik.

2. Hubungan Profesional Pun Boleh Jadi Spekulasi

Pelakon, Hisyam Hamid turut berdepan situasi hampir sama apabila dikaitkan dengan pelakon Ikatan Terlarang, Erysha Emyra.

Hisyam menafikan mereka bercinta dan menjelaskan hubungan mereka hanyalah sebagai rakan serta rakan sekerja. Menurutnya, spekulasi tersebut berkemungkinan timbul kerana mereka sedang bekerjasama dalam projek yang sama.

3. Tak Bercinta Pun Akhirnya Kena Jelaskan

Pelakon dan personaliti media sosial, Hazwani Helmi dan Hariz Hamdan juga pernah menjadi perhatian selepas peminat menyukai keserasian mereka dalam drama.

Hazwani kemudian menjelaskan mereka tidak mempunyai hubungan istimewa dan keserasian yang dilihat penonton hanyalah hasil mereka bekerja secara profesional sebagai pelakon. Hariz sebelum itu turut memberitahu media bahawa mereka sekadar rakan sekerja.

4. Dalam Masa Sama, Shipping Boleh Membantu Populariti

Antara contoh paling terkenal ialah gandingan Anna Jobling dan Meerqeen selepas Melur Untuk Firdaus.

Anna pernah menjelaskan mereka tidak bercinta dan hubungan mereka atas dasar kerja. Namun dia turut menghargai sokongan peminat sehingga ada yang mencipta tanda pagar khas untuk watak mereka.

Ini menunjukkan shipping juga boleh membantu sesuatu gandingan kekal diperkatakan dan secara tidak langsung meningkatkan perhatian terhadap sesebuah drama.

5. Bila Terlalu ‘Invested’, Pelakon Lain Pun Boleh Terkena Tempias

Apabila Anna kemudiannya digandingkan dengan Amir Ahnaf dalam Syurga Itu Bukan Mudah, Amir pernah menolak tanggapan kononnya dia menjadi orang ketiga antara Anna dan Meerqeen.

Menurut Amir, gambar bersama Anna yang dikongsikannya hanyalah sebahagian daripada promosi drama dan dia tidak mahu mencampuri urusan peribadi rakannya itu.

Situasi ini menunjukkan bagaimana sesuatu ship boleh menjadi begitu kuat sehingga gandingan baharu artis juga boleh dikaitkan dengan naratif hubungan yang dibina peminat.

Shipping Tak Salah, Tapi Ada Batasnya

Shipping boleh menjadi sebahagian daripada keseronokan menonton drama. Malah, apabila peminat percaya dengan chemistry sesuatu pasangan, ia juga boleh menunjukkan keberkesanan lakonan mereka.

Namun ada perbezaan antara seronok melihat dua artis bersama dengan menganggap mereka benar-benar bercinta atau sepatutnya bersama di dunia sebenar.

Kadang-kadang chemistry yang nampak begitu meyakinkan bukanlah petanda cinta lokasi. Ia mungkin sekadar bukti bahawa kedua-duanya berjaya melakukan tugas sebagai pelakon.

Sumber: mstar, NST, Utusan Malaysia, URTV, Astro Gempak