Berjaya menjana pendapatan sebanyak RM2.5 juta sepanjang tahun 2025, penyanyi Iman Troye memilih untuk menggunakan hasil titik peluhnya bagi membahagiakan insan paling penting dalam hidupnya iaitu ibu dan bapa.

Artikel Berkaitan: #TipsXTRA: Kejar Impian Jangan Sampai Hilang Diri, Iman Troye Pesan Minta Restu Mak Ayah – ‘Hargai Mereka Selagi Ada’

Artikel Berkaitan: POV XTRA: Nyanyi Semula Lagu Tradisional Bukan Sekadar Trend, Iman Troye Akui Besar Tanggungjawab Bawa Pop Etnik

Menerusi segmen #ThrowbackXTRA, Iman mendedahkan dia sudah membina sebuah rumah untuk keluarga selain menghadiahkan kereta kepada bapanya sebagai tanda membalas jasa kedua ibu bapanya.

RM2.5 juta revenue itu untuk tahun lepas. Sebenarnya saya dah guna dah pun duit itu untuk saya beli kereta buat ayah saya.

Hadiah-hadiah dia adalah saya ada buat rumah untuk keluarga dan beli kereta untuk ayah saya.

Menurut Iman, dia memilih untuk tidak berkongsi mengenai pemberian tersebut di media sosial kerana menghormati ibu bapanya yang lebih selesa menjalani kehidupan secara privasi.

Saya tak kongsi di mana-mana media sosial sebab mak ayah saya suka kehidupan privasi. Dah lama saya tak kongsi gambar keluarga sebab tak nak mereka diganggu. Dulu pernah orang ugut nak bunuh mak ayah saya, jadi saya tahu mak ayah saya rasa tak selamat. Sebab itulah kalau apa-apa saya tak kongsi langsung dah.

Pernah Membesar Dalam Kesusahan

Dalam perkongsian bersama #ThrowbackXTRA, Iman turut mengimbau kehidupan sekitar sedekad lalu ketika dirinya masih membesar di rumah flat dan menyaksikan sendiri pengorbanan kedua ibu bapanya.

10 tahun saya yang dahulu hanyalah seorang budak yang duduk di rumah flat. Saya tahu hidup susah itu macam mana, nampak mak ayah saya bekerja keras cari rezeki, keluar pagi balik lambat untuk bagi anak-anak makan.

Jadi kenapa saya sangat kuat sekarang sebab saya nak buat yang terbaik untuk mak ayah saya.

Atas sebab itu, segala usaha dan kejayaan yang dikecapinya hari ini mempunyai satu matlamat utama iaitu mahu membalas segala pengorbanan keluarganya.

Sebab itulah saya berusaha juga untuk jadi diri sendiri sekarang. Tetapi tujuan utama dia adalah saya nak balas semula jasa mak ayah saya.

Pernah Dibuli, Kurang Yakin Dengan Diri

Dalam masa sama, Iman turut membuka cerita mengenai sisi dirinya ketika zaman persekolahan yang pernah berdepan masalah keyakinan diri selain pengalaman dibuli.

Dulu saya jenis yang tak percaya dengan diri sendiri, tak yakin, tak berkeyakinan.

Tetapi bila saya dah mula berjumpa kawan-kawan, saya mula mempercayai diri sendiri. Saya pernah dibuli di sekolah, orang tak suka.

Jadi sebab itu saya nak orang tengok yang saya boleh berdiri sendiri.

Jika diberikan peluang untuk bertemu dirinya yang dahulu, Iman berkata dia mahu mengingatkan dirinya supaya terus melakukan perkara yang disukai dan percaya terhadap kemampuan sendiri.

Kalau diberi peluang untuk saya jumpa diri saya yang dulu, saya nak cakap congratulations, terus buat yang terbaik, buat apa yang awak suka.

Jadi diri sendiri dan percaya pada diri sendiri.

Daripada seorang kanak-kanak yang membesar di rumah flat sehingga mampu membina rumah buat keluarga dan menghadiahkan kereta kepada ibu bapa, perjalanan Iman hari ini membawa makna yang lebih besar daripada sekadar kejayaan kerjaya.

Malah, Iman turut menerima pengiktirafan sebagai Diamond Artist daripada XO House, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian dalam perjalanan seninya.