Penyanyi dan pengacara, Ceddy Ang meluahkan rasa kecewa susulan insiden layanan kasar yang didakwa diterimanya ketika berkunjung ke sebuah restoran terkenal baru-baru ini.

Artikel Berkaitan: Ceddy Ang Nyaris Jadi Mangsa Scammer, Transaksi Cecah USD1,029 – ‘Tolong Jangan Susahkan Hidup Orang’

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Ceddy Ang Nasihat Netizen Kawal Emosi Di Media Sosial – ‘Jangan Terus Masuk Campur, Kita Tak Tahu Kesannya’

Kurang mesra

Ketika ditemui OhBulan!, Ceddy berkata dia bersama rakan-rakan tiba di restoran itu pada jam 9.45 malam, namun dimaklumkan premis berkenaan sudah tutup walaupun waktu operasinya sehingga jam 11 malam.

Ceddy bagaimanapun meluahkan rasa terkilan dengan cara pihak restoran memaklumkan perkara tersebut yang disifatkannya sebagai kasar dan kurang mesra.

Sebelum pergi ke kedai tersebut, saya buat carian di Internet mengenai waktu operasinya yang tutup pada pukul 11 malam. Jadi kami pergi ke situ pada pukul 9.45 malam namun kedatangan kami ditolak dengan alasan kedai sudah tutup.

Saya tak kisah kalau dia beritahu kami dengan cara baik, mungkin kedai ditutup awal sebab hal-hal tertentu. Tapi, caranya kurang mesra, kasar dan dalam keadaan marah.

Saya tak akan pergi kalau kedai itu waktu operasinya berakhir tepat waktu yang ditetapkan. Jadi sekarang kita persoalkan kenapa tutup awal sedangkan waktu operasi belum berakhir?

Ceddy berkongsi pengalamannya ini ketika ditemui di Anugerah Melodi Terhangat 2026 x Cuckootopia Power Launch yang berlangsung di Hyatt Regency, Kuala Lumpur.

Berkongsi lanjut, Ceddy memaklumkan bahawa pemilik restoran itu telah menghubunginya untuk memohon maaf serta menjelaskan bahawa tempahan terakhir diterima pada jam 10.45 malam. Pihak restoran turut berjanji memperbaiki latihan pekerja bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Pengasas kedai makan itu hubungi saya dan ikhlas memohon maaf. Beliau juga memaklumkan operasi mereka sebenarnya berakhir pukul 11 malam yang mana tempahan terakhir akan diambil pada pukul 10.45 malam.

Dia juga memaklumkan memang berlaku kes yang sama sebelum ini, jadi akan melantik pekerja lebih berpengalaman untuk mengadakan bimbingan supaya kejadian sama tidak berlaku lagi.

Saya tidak mahu pengurus itu dibuang kerja. Cukup sekadar dia dibimbing dan diberi latihan untuk memperbetul kesalahan dan memantapkan perkhidmatannya.

Saya tak ada masalah untuk kembali ke cawangan yang lain kerana saya tahu makanan yang dihidangkan sangat okay. Malah pemilik kedai berhasrat menjemput saya ke cawangan baharu, namun segan kerana video saya sudah tular.

Ceddy turut menafikan dakwaan bahawa video tular itu dimuat naik sebagai gimik untuk menarik pelanggan, sebaliknya menegaskan ia merupakan pengalaman sebenar yang dialaminya.

Saya tidak membuat video itu kerana gimik, malas layan perkara begitu. Apa yang saya dapat? Tak ada.

Malah kalau diberi makan percuma juga saya menolak. Itu bukan amalan saya dan terbukti sebelum ini, semua review makanan yang saya buat adalah dibayar saya sendiri.

Tambah Ceddy, perkongsian itu bukan bertujuan menjatuhkan perniagaan mana-mana pihak, sebaliknya sebagai teguran agar layanan terhadap pelanggan sentiasa diberi perhatian.

Video yang ditular tidak lain hanya untuk memberi kesedaran kepada pekerja bahawa tindak tanduk mereka dipantau majikan.

Dan cara pengurus itu melayan pelanggan juga diperhatikan. Jika saya bersikap biadap, boleh diterima sebagai kesalahan sendiri. Namun pengurus kedai di cawangan tersebut yang bersikap biadap.

Semoga insiden ini memberi kesedaran kepada pengurus restoran agar mematuhi waktu operasi yang ditetapkan. Selain itu, benda boleh bincang, cakap elok-elok kepada pelanggan, kenapa memilih untuk bersikap biadap?

Perkembangan lain, Ceddy Ang bakal menjadi hos segmen Karpet Merah Anugerah Melodi Terhangat 2026 bersama Fiza Frizzy dan Ferra Mazlan yang akan bersiaran pada 18 Oktober 2026.