![[VIDEO] ‘Adakah Kami Bakal Disatukan? Itu Memang Doa & Harapan’ – Fazley Yaakob](https://asset.ohbulan.com/2026/10/IMG_1559.jpeg)
Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob, menafikan dakwaan bahawa dia dan usahawan Datuk Seri Vida (DSV) telah mendirikan rumah tangga.
Artikel Berkaitan: Kaki Fazley Yaakob Terseliuh, Vida Seloroh Ujian Fasa Bertunang – ‘Dari Ipoh Terus Ke Kuala Lumpur Sebab Nak Ziarah…’
Dalam perancangan

Ketika ditemui OhBulan! Fazley atau nama sebenarnya Ahmad Fadzli Yaakob, 48, memberitahu bahawa mereka juga belum mengikat tali pertunangan.
Alhamdulillah. Saya suka bila ada kata-kata manis dan doa-doa yang positif. Setiap kata-kata itu adalah satu doa. Jadi kalau kata kami dah kahwin, jawapannya belum. Bertunang pun belum.
Adakah kami bakal disatukan? Itu memang perjalanan dan doa kami dan harapan, insya-Allah.
Menurut Fazley, dia tidak menolak untuk segera berkahwin, namun perlu menyelesaikan beberapa perkara terlebih dahulu.
Kalau ikutkan, dua tiga minggu sebelum ini memang nak kahwin. Hati itu memang dah sampai, tapi apabila dua keluarga bakal disatukan, kita ada proses-proses untuk menjaga hati, menyatukan keluarga, ada ‘paperwork’ yang nak kena buat.
Sebab yang berkahwin ini bukan teruna dan dara, tetapi duda dan janda. Jadi proses itu mengambil masa sedikit dan tunggu dan doakan yang terbaik.
Selain itu, pelantun lagu Asmara Ini juga berkata, dia dan DSV mahu hubungan mereka disatukan dengan adat Melayu.
Sebab saya dan DSV memang menjaga adat kerana kita ada orang-orang tua dalam keluarga. Orang tua sebelah keluarga saya, orang tua sebelah keluarga DSV.
Jadi adat itu kita akan patuhi. Bermakna kita akan melalui proses merisik, bertunang, nikah dan sebagainya dan menghebahkan pada umum. Jadi nantikan, doakan supaya apa yang kami hasratkan, dua keluarga ini dapat disatukan secara halal, insya-Allah.
Fazley berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2026 X Cuckootopia di Ballroom, Hyatt Regency Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah Fazley, dia dan DSV juga mengambil kira perbincangan bersama keluarga kedua-dua belah pihak termasuk anak-anak mereka.
Apabila masing-masing ada keluarga dan anak-anak, kita berbincang secara telus dan pada saya, adat Melayu itu perlu kita patuhi. Jadi tidak boleh melangkau apa-apa adat.
Tak boleh tunang sebelum merisik, tak boleh nikah ataupun sebelum buat pengumuman dan sebagainya. Mesti ada langkah-langkah yang kita hormati.
Tapi saya cakap ramai orang bertanya mengapa belum ada apa-apa paparan, pada saya begini. Kita beri laluan pada adinda-adinda saya. Selepas itu, insya-Allah mungkin kami pula yang akan melancarkan perjalanan dan melangsungkan apa yang perlu dilangsungkan, insya-Allah.
@ohbulanofficial Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob, menafikan dakwaan bahawa dia dan usahawan Datuk Seri Vida (DSV) telah mendirikan rumah tangga. #ohbulan #kinitrending ♬ original sound – OHBULAN!








