Penyanyi dan cef selebriti Datuk Fazley Yaakob, meluahkan rasa terharu apabila usahawan Datuk Seri Vida (DSV) sanggup meninggalkan komitmen kerja demi menjaga dirinya yang sedang mengalami kecederaan.

Artikel Berkaitan: Bimbang Dibuli, Fazley Yaakob Pernah Ambil Keputusan Keluar Asrama – ‘Ada Junior Mulut Dia Dimasukkan Seluar Dalam Sendiri’

DSV jaga Fazley

Ketika ditemui OhBulan!, Fazley, 48, berkata, kakinya cedera semasa melakukan latihan bagi persediaan untuk mengikuti sebuah kejohanan badminton.

Menurut Fazley, Vida yang sepatutnya berada di luar negara, memilih untuk berada di sisi dan akan menemaninya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Saya tengah berlatih untuk kejohanan badminton, lalu tercedera. 

Saya paling terharu sebab Vida sepatutnya  tak ada dekat Malaysia, dia ada di China. Tapi balik awal, dia kata bukan untuk sokong Melodi sahaja, tetapi dia juga akan teman saya pergi jumpa doktor esok (hari ini). 

Terima kasih sayang sebab balik awal untuk saya. 

Pemeriksaan itu nanti akan tentukan sama ada saya boleh main badminton untuk kejohanan ataupun tidak, berdebar juga. 

Sementara itu, pemilik nama Hasmiza Othman tersebut mengakui terkejut selepas menerima perkhabaran mengenai kecederaan yang dialami Fazley.

Terkejutlah! Saya terfikir kenapa boleh jadi begitu. Tidak kira apa yang saya perlu buat nanti, yang saya tahu saya nak tengok dia. 

Sebab masa tu tengah merindu, saya tak ada. Saya merajuk masa tu, dia pun dah tak tenang. Tiba-tiba jatuh ketika main badminton.

Fazley dan Vida berkata demikian ketika ditemui di Anugerah Melodi Terhangat 2026 yang diadakan di Selangor International Trade Centre (SITC), Shah Alam pada Ahad. 

Dalam pada itu, pelantun lagu Asmara Ini tersebut turut memaklumkan bahawa Vida juga membatalkan beberapa program yang telah dijadualkan sejurus selepas mengetahui keadaannya yang tercedera.

Betul, masa tu jiwa tengah tak tenang, sebab tak jumpalah, masing-masing sibuk. 

Ketika saya terpelecok Vida tengah ada penggambaran juga. Dia tinggalkan program itu dan dia datang untuk tengok saya. 

Saya rasa dia sangat sweet. Bagi makan, suap makan, basuhkan tangan. Ya Allah, terima kasih sayang. 

Sekarang ini memang dia tengah jaga saya. Sanggup balik awal, tinggalkan program dan live. Mana nak cari orang seperti itu, bidadari syurga.

Sebelum ini, kisah Fazley dan Vida mula hangat diperkatakan oleh warganet selepas mereka dilihat akrab ketika menyertai program Talk To My Manager 2.

Hubungan mereka turut mendapat restu anak-anak daripada kedua-dua keluarga.

Fazley dan Vida juga tidak berselindung, malah mengakui sedang merancang untuk hari bahagia mereka.