Pelakon, Zarif Ghazzi meluahkan rasa terkejut apabila watak Abbas menerusi siri Kudrat 1968: High Council berjaya mencuri perhatian penonton sekali gus melonjakkan popularitinya.

Artikel Berkaitan: Bawa Siti Nurhaliza Naik Beca, Zarif Ghazzi Anggap Momen Indah – ‘Rezeki Sangat Bermakna’

Artikel Berkaitan: Wajah Zarif Ghazzi Disamakan Dengan Jungkook BTS

Ekspektasi lakonan

Ketika ditemui OhBulan!, Zarif, 22, mengakui gementar memikirkan penerimaan penonton terhadap lakonannya, namun bersyukur apabila berjaya memenuhi jangkaan menerusi siri Kudrat.

Menurut Zarif, sambutan yang diterima mendorongnya untuk memikul tanggungjawab lebih besar dalam memastikan kualiti lakonannya terus meningkat pada masa akan datang.

Alhamdulillah saya bersyukur apabila saya capai ekspektasi menerusi lakonan dalam siri Kudrat ini.

Saya percaya setiap ekspektasi itu tidak akan terhenti di situ, tanggungjawab saya akan lebih lagi.

Sudah tentu takut dengan ekspektasi orang, tetapi saya tukarkan ketakutan itu kepada rasa tanggungjawab untuk melakukan lakonan dengan lebih baik.

Zarif berkata demikian ketika ditemui di tayangan perdana filem Kudrat 1968: High Council yang berlangsung di TGV Suria KLCC, Kuala Lumpur pada Isnin.

Tambah Zarif, sambutan peminat terhadap watak Abbas selepas empat episod siri itu ditayangkan membuatkan dia menjangkakan karakter tersebut akan terus diingati untuk tempoh yang panjang.

Alhamdulillah saya tidak menyangka. Sejujurnya sudah tentu setiap naskhah yang baik memang akan boleh berjaya.

Sejujurnya saya terkejut dengan impak dan sokongan diberikan. Saya rasa lepas ni memang orang akan panggil saya Abbas walaupun 10 tahun akan datang.

Bagi saya itu adalah satu pencapaian kerana orang bukan ingat nama tetapi watak itu sendiri. Maksudnya lakonan saya itu sampai pada penonton.

Dalam pada itu, Zarif tidak mahu terlalu selesa dengan kejayaan yang diraih, sebaliknya mengakui masih banyak perkara yang perlu dipelajari sepanjang bergelar pelakon.

Pelakon itu juga berharap diberi peluang untuk membawa pelbagai watak sekaligus dapat mengembangkan lagi kerjaya seninya.

Apa pun yang kita buat tidak pernah akan cukup. Insya-Allah sebagai seorang pelakon tanggungjawab saya untuk berikan pelbagai watak dalam lakonan.

Sudah tentu rasa takut itu tetap ada, tapi bila rasa takut kita masih ada ruang untuk belajar.

Saya belum cukup sempurna, handal atau legend. Sudah tentu banyak lagi yang saya perlu belajar tentang penyampaian dalam lakonan.

Saya tetap akan berdoa dan berusaha agar kerjaya saya tidak hanya bergantung dengan siri Kudrat 1968 ini sahaja.

Pada masa sama, pelakon itu turut meluahkan rasa syukur apabila usaha sepanjang tiga tahun membina karier lakonan akhirnya mula mendapat perhatian ramai.

Saya bersyukur sebab titik peluh saya sepanjang tiga tahun berlakon kini sudah mendapat perhatian ramai.

Terima kasih kepada semua penyokong dan tenaga produksi. Mereka antara individu yang menaikkan saya.

Untuk rekod, Kudrat 1968: High Council merupakan prekuel kepada Projek: High Council (2023) dan Kahar: Kapla High Council (2024) yang mengisahkan asal-usul hierarki rahsia dalam kalangan pelajar.

Filem arahan Zulaikha bersama Khairi Asyraff itu menampilkan Zarif Ghazzi, Mierul Aiman, Dai Fuad, Chech Harith, Evertts Gomes dan Akmal Asyraf, yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 29 Oktober ini.