Penyanyi muda Indonesia, Farel Prayoga, mengambil langkah berani keluar daripada zon selesa apabila mencuba genre muzik Melayu menerusi lagu terbaharunya berjudul ‘Gadis Melayu’.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Saya Alami Depresi Teruk’ – Farel Prayoga Akui Konflik Dengan Bapa Beri Kesan Mental & Emosi

Artikel Berkaitan: Farel Prayoga Lancar Single ‘Lemak Manis’ Versi Orkestra, Menawan Hati Peminat Serantau

Farel Prayoga tak nak selesa

Lebih dikenali dengan muzik dangdut koplo, Farel, 16, mengakui pengalaman membawakan lagu Melayu memberikan cabaran tersendiri, terutama ketika perlu menyesuaikan lenggok nyanyian yang jauh berbeza daripada genre asalnya.

Saya mahu keluar daripada zon selesa dan mencuba perkara yang belum pernah saya lakukan sebelum ini.

Memang berbeza daripada dangdut. Ketika merakamkan lagu ‘Gadis Melayu’, agak mencabar juga untuk saya membawakan lenggoknya.

Menurut Farel, dia tidak mahu terus terikat dengan satu genre muzik sahaja, sebaliknya mahu meneroka pengalaman baharu bagi mengembangkan lagi bakat seninya.

Sebelum ini saya lebih dikenali dengan muzik dangdut koplo. Jadi, menerusi lagu ‘Gadis Melayu’, saya mahu mencuba pengalaman baharu supaya tidak terus berada dalam genre yang sama sahaja.

Berkongsi mengenai proses pembikinan lagu tersebut, Farel memberitahu rakaman vokal dilakukan di Malaysia dan mengambil masa hampir setahun sebelum berjaya diterbitkan.

Rakaman vokal dibuat di Malaysia dan proses menyiapkan lagu ini mengambil masa hampir setahun. Tetapi Alhamdulillah, akhirnya lagu ini berjaya diterbitkan.

Peminat bagi komen positif

Dalam pada itu, penyanyi berusia 16 tahun tersebut tidak menafikan ada peminat yang terkejut melihat perubahan genre muziknya, memandangkan mereka lebih biasa mendengar dirinya menyanyikan lagu dangdut koplo.

Bagaimanapun, dia bersyukur apabila percubaan tersebut menerima maklum balas positif daripada pendengar setakat ini.

Memang ada peminat yang terkejut sebab mereka biasa dengar saya menyanyi dangdut koplo. Tiba-tiba saya tampil dengan lagu Melayu.

Tetapi Alhamdulillah, penerimaannya positif. Setakat ini saya belum menerima maklum balas negatif.

Malah, Farel turut merancang untuk terus aktif menghasilkan karya baharu dan kini sedang menyiapkan projek muzik di Indonesia.

Kerjaya saya masih berkembang. Saya juga sedang menyiapkan projek lagu baharu di Indonesia.

Bagi saya, kita kena terus berkarya. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan, tetapi karya tetap perlu diteruskan secara konsisten.

Di sebalik kesibukan mengembangkan kerjaya seni, Farel tetap memberikan perhatian terhadap pelajaran apabila masih meneruskan persekolahan di peringkat menengah atas (SMA).

Farel bersyukur kerana mendapat sokongan pihak sekolah untuk mengimbangi tanggungjawab sebagai pelajar dan aktiviti seni.

Farel juga tidak menolak kemungkinan melanjutkan pengajian dalam bidang komunikasi, termasuk mempertimbangkan peluang menyambung pelajaran di luar negara.

Untuk rekod, lagu ‘Gadis Melayu’ merupakan kolaborasi ketiga Farel bersama Indigital Music, sebuah label muzik Malaysia dengan proses rakaman vokal turut dijalankan di negara ini.