Penduduk Sandakan, Sabah bakal disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik dan persembahan hiburan apabila penyanyi legenda rock, Amy Search serta Amir Masdi dijadualkan membuat persembahan menerusi Kenduri Rakyat i LINDUNG U @ Batu Sapi pada 14 November ini.

Bukan itu sahaja, kehadiran pelawak popular, Bell Ngasri turut menambah kemeriahan acara yang dianjurkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Flat MPS Batu Sapi, Sandakan.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Amir Masdi Tak Sangka Jadi Penyanyi, Dedah Ibu Dorong Sertai Uji Bakat Tiga Kali

Artikel Berkaitan: ‘Bila Naik Pentas Rasa Takut, Nak Menyanyi Tapi Tak Tahu Macam Mana’ – Amy Search Dedah Kena Gangguan Mistik

Amy Search antara artis memeriahkan konsert i LINDUNG U

Berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 10 malam, program berkenaan turut menampilkan barisan artis dan personaliti lain termasuk Puteri Akie, Gretchene Qurina, Enn Xaviera, Joy Shazrie serta Darling Ngasri.

Majlis perasmian yang dijadualkan berlangsung pada pukul 7 malam itu akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan.

Selain persembahan pentas menerusi Konsert i LINDUNG U, pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik yang disediakan khas untuk seisi keluarga.

Antara pengisian yang dirancang termasuk pertandingan tarian igal-igal, pertandingan mewarna kanak-kanak, aktiviti pakaian tradisional serta cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik.

Dalam masa sama, pengunjung juga berpeluang mendapatkan maklumat lanjut dan khidmat nasihat mengenai skim perlindungan sosial yang ditawarkan oleh PERKESO.

Menariknya, kemasukan ke program berkenaan adalah percuma dan terbuka kepada seluruh lapisan masyarakat.

Orang ramai khususnya penduduk sekitar Sandakan dijemput hadir bersama keluarga dan kenalan bagi memeriahkan Kenduri Rakyat i LINDUNG U @ Batu Sapi.