Pelakon, Rita Rudaini mengakui mula berasa gementar apabila anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan: ‘Tak Kira Apa Keputusan Ryan, Mommy Tetap Ada Di Sini’ – Rita Rudaini Titip Pesanan Buat Anak Sulung Bakal Duduki SPM

Artikel Berkaitan: Cik B Terharu Dipuji Rita Rudaini – ‘Tak Sangka Jadi Diri Sendiri Pun Boleh Tinggalkan Impression Seperti Ini’

Terlebih risau

Ketika ditemui OhBulan!, Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mohammad Mokhtar menyifatkan dirinya sebagai seorang ibu yang terlalu mengambil berat soal pendidikan anak-anak.

Menurutnya, dia sanggup menguruskan sendiri segala persiapan akademik demi memastikan anaknya mendapat persediaan yang cukup.

Mak sekarang macam saya ini, setiap inci saya buat. Bukan kata anak tidak boleh buat, cuma saya terlebih risau.

Saya cari kelas tuisyen dalam platform Threads dan TikTok.

Kalau ternampak apa-apa maklumat akademik berkaitan subjeknya, saya akan terus hantar kepadanya sampai anak pun kata, ‘apa lagi mummy, apa lagi?’

Rita berkongsi perkara itu ketika ditemui dalam acara Mini Creators Fiesta ABPBH 38 di Ombak KLCC, pada Sabtu.

Dalam pada itu, pelakon drama Jiwa Seorang Pentaksub itu turut memastikan anaknya mendapat makanan yang terbaik sepanjang persediaan peperiksaan.

Usaha tersebut bagaimanapun menelan belanja yang besar, namun perkara itu tidak menjadi penghalang buat Rita demi memenuhi keperluan anaknya.

Bila nampak makanan berkhasiat dalam TikTok, saya akan hantar menu kepada orang kafe sekolah dan dia sediakanlah untuk hidangan pagi, tengah hari, petang serta malam.

Bila bil kafe sampai, terkejut juga tengok jumlahnya.

Tapi saya tak kisah berhabis duit demi anak asalkan perkara itu memberi manfaat untuk dirinya.

Mengulas lanjut, Rita sentiasa menjadikan pengalaman hidupnya sebagai sumber kekuatan buat anak-anak agar tidak mudah berputus asa apabila berdepan kegagalan.

Saya pernah cakap pada anak, apa pun yang awak buat dalam hidup ini kalau gagal, jangan terus ‘down’. Awak kena tengok mummy.

Mummy pernah gagal dalam hidup dan perkahwinan tapi bangkit serta besarkan awak sampai boleh pergi sekolah yang bagus dan jadi pelajar terbaik.

Sekadar info, Rita dan Aidil Zafuan mendirikan rumah tangga pada 25 Februari 2008 sebelum membawa haluan masing-masing pada 5 September 2013.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin, 17, dan Airit Qaqa Arjuna, 15.

Airit Rayyan kini merupakan pelajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sungai Besar dan bakal menduduki peperiksaan SPM tidak lama lagi.

Airit Rayyan tercalon OBPVO2.0

Dalam perkembangan lain, Airit tercalon sebagai Top 15 kategori Nepo Baby Paling Viral di OhBulan! Paling Viral Online 2.0.

Selain Airit, kategori Nepo Baby Paling Viral turut menampilkan Ammar Ahyan, Zaki Yamani, Cik B, Auddra, Azeva, Leona, Amad Dayyan, Thalita, Nayla Mikayla, Faris, Merrah, Mia Sara Shauki, Ammara dan Adrian Adam.

OBPVO2.0 mempertandingkan sembilan kategori iaitu Penyanyi Gen Z Paling Viral, Peniaga Paling Viral, Nepo Baby Paling Viral, Pelakon Paling Viral, Content Creator Paling Viral, Filem Paling Viral, Drama Paling Viral, Lagu Paling HOT dan Kelab Peminat Paling Viral.

Undian dibahagikan kepada dua fasa, iaitu Top 15 dari 2 November hingga 1 Disember 2026, diikuti Top 5 dari 7 Disember 2026 hingga 8 Januari 2027. Setiap pengguna boleh mengundi sehingga 50 kali sehari.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan OhBulan! Paling Viral Online 2.0 pada 15 Januari 2027, jam 9 malam, yang akan disiarkan secara langsung menerusi akaun TikTok rasmi OhBulan!

Jom meriahkan kempen ini dengan menggunakan tanda pagar rasmi #OhBulanPalingViralOnline2.0 dan layari laman rasmi OhBulan! Paling Viral Online 2.0 untuk maklumat lanjut serta mengundi calon pilihan anda!