Penyanyi dan komposer, Aina Abdul tidak dapat menahan sebak selepas pentas Eurovision Song Contest Asia 2026 melabuhkan tirai sekali gus meraih kedudukan keempat dalam pertandingan itu.

Artikel Berkaitan: Filipina Juara Eurovision 2026, Malaysia Raih Tempat Keempat

Artikel Berkaitan: Eurovision 2026: Aina Abdul Seru Rakyat Malaysia Beri Sokongan – ‘Tak Kisahlah Anda Minat Saya Atau Tidak’

Sebak

Dalam ucapan penuh emosi, Aina atau nama lengkapnya Nurul Aina Abdul Ghani, 33, berkata dia telah memberikan yang terbaik selain menyifatkan pengalaman di pentas antarabangsa itu antara detik paling bermakna dalam kerjaya seninya.

Pun begitu, Aina turut memohon maaf kepada mana-mana pihak yang mungkin meletakkan harapan tinggi untuk melihatnya membawa pulang gelaran juara.

Alhamdulillah sudah selesai perjalanan saya di Eurovision Asia Song Contest 2026. Saya yakin sudah melakukan yang terbaik. Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang tidak henti-henti menyokong saya.

Kepada mereka yang mungkin meletakkan harapan tinggi kepada saya minta maaf jika saya mengecewakan anda semua tapi ini adalah salah satu perjalanan terbaik dalam karier saya.

Perjalanan ini tidak ada dalam buku dan dalam mana-mana panduan melainkan saya terpaksa melaluinya sendiri.

Dalam pada itu, Aina menegaskan air mata yang mengalir bukanlah tanda kekalahan, sebaliknya sekadar luahan emosi yang terpendam selepas segala penat lelah berakhir.

Saya sangat bersyukur kerana dikurniakan sebuah pasukan yang begitu hebat. Saya rasa, walaupun kita tidak menang, sebenarnya kita sudah pun memenangi hati kita sendiri.

Apa yang penting, walaupun air mata saya mengalir dan bergenang, itu tidak bermakna saya tewas dengan diri sendiri.

Tidak sama sekali. Cuma, itu adalah luahan emosi yang hadir selepas semuanya berakhir.

Saya akan okay, saya kenal diri saya sendiri. Saya cuma perlukan beberapa jam, mungkin sehari atau beberapa hari. Selepas itu, insya-Allah saya akan kembali okey.

Buat seluruh rakyat Malaysia, terima kasih. Terima kasih dari lubuk hati saya yang paling dalam atas segala sokongan yang telah diberikan.

Untuk rekod, juara keseluruhan Eurovision Asia 2026 menjadi milik wakil Filipina, Carmelle, menerusi lagu Sobra-Sobra dengan 211 markah, diikuti pasangan duet tuan rumah dari Thailand, Mang dan Daou (Aroma) di tempat kedua dengan 170 markah, manakala wakil Vietnam, Tóc Tiên (Em Tien) di tempat ketiga dengan 164 markah.

Aina pula berada di tempat keempat selepas meraih 152 markah menerusi persembahan lagu Bluest Sky.

Sumber: TikTok