
Bukan calang-calang usaha diperlukan untuk menghasilkan busana istimewa yang digayakan penyanyi Aina Abdul sewaktu bertanding di Euroviosion Song Contest Asia 2026 di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.
Artikel Berkaitan: Melinda Looi Sebak Lihat Sokongan Peminat Terhadap Aina Abdul – ‘Segala Usaha Keras Akhirnya Berbaloi’
Artikel Berkaitan: Ismail Izzani Pertahan Aina Abdul, Minta Netizen Henti Kecam – ‘Tak Perlu Sebarkan Kebencian’
Berkorban masa & keringat

Pereka fesyen terkenal, Melinda Looi mendedahkan, dia bersama pasukannya mengambil masa selama dua bulan untuk menyiapkan busana berkonsepkan elemen air itu, selain memperuntukkan 600 jam untuk kerja menjahit dan menghasilkan perincian hiasan.
Lebih menarik, proses mendapatkan bahan sahaja mengambil masa selama sebulan sebelum kerja menghasilkan busana berkenaan dapat dimulakan.
Menurut Melinda, usaha mendapatkan bahan yang bersesuaian bukan sesuatu yang mudah kerana setiap komponen perlu menepati konsep rekaan, khususnya dari segi ketelusan, tekstur dan keupayaan memantulkan cahaya.
Malah, pencarian bahan turut melangkaui Malaysia apabila pasukannya mendapatkan bekalan daripada pembekal di Itali, Sepanyol, China, India dan Bangkok, Thailand.
Bagi merealisasikan rekaan diinspirasikan daripada lagu Bluest Sky itu, kira-kira 20 individu kreatif turut terlibat sepanjang proses pembuatannya.
Antara bahan yang digunakan termasuklah 20 kilogram gam lutsinar, 400 meter fabrik organza, 200 meter dawai, 20 meter fabrik berkilauan seperti logam cecair serta ratusan ribu kristal Swarovski.
Sebanyak 200 jalur hiasan menyerupai titisan air turut dihasilkan secara manual bagi memberikan ilusi air yang mengalir pada permukaan busana.
Semangat sepasukan

Tidak terhenti di situ, busana berkenaan turut dilengkapi jubah dan ekor sepanjang tiga meter yang direka khas supaya kelihatan seperti pergerakan ombak ketika Aina beraksi di atas pentas.
Mengakui proses tersebut menuntut pengorbanan besar, Melinda menyifatkan perjalanan menghasilkan busana itu sebagai pengalaman yang penuh cabaran dan kesungguhan seluruh pasukan.
Malah, mereka terpaksa melalui malam tanpa tidur, jari melecur, air mata, keringat dan darah demi memastikan setiap perincian disiapkan mengikut perancangan.
Jelasnya, setiap kristal yang dipasang dan perincian yang dihasilkan secara manual mencerminkan komitmen individu yang terlibat dalam merealisasikan visi kreatif tersebut.
Apa yang dipersembahkan di atas pentas bukan sekadar sebuah busana mewah, sebaliknya hasil pengorbanan kira-kira 20 individu yang berkongsi impian untuk menghasilkan sesuatu yang luar biasa.
Terdahulu, Aina berjaya meraih tempat keempat daripada 11 negara yang bertanding. Juara disandang penyanyi wakil dari Filipina iaitu Carmelle menerusi lagu Sobra-Sobra. Naib juara menjadi milik Thailand dan tempat ketiga milik Vietnam.






![[VIDEO] Shafiq Shaheen Jalin Kerjasama Dengan Jakel – ‘Saya Niat Nak Derma Duit Ini Kepada Tahfiz’](https://asset.ohbulan.com/2026/11/867784DB-BBEB-4B91-9D65-DEB7740D6202.jpeg)

