Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyeru orang ramai supaya segera mengemas kini sistem operasi telefon pintar masing-masing sebagai persediaan menerima amaran kecemasan melalui Sistem Amaran Awal (Early Warning System – EWS).

Sistem amaran kecemasan negara ini kini sedang dilaksanakan secara berfasa bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan masyarakat.

Tak perlu muat turun aplikasi tambahan

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis, MCMC memaklumkan bahawa EWS menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS).

Menariknya, teknologi ini membolehkan mesej amaran kecemasan dihantar secara serentak ke telefon bimbit pengguna yang berada di kawasan terlibat tanpa perlu memuat turun sebarang aplikasi tambahan, mendaftar, atau melanggan perkhidmatan tertentu.

Semak ‘spec’ telefon korang sekarang!

Sebagai panduan awal (tertakluk kepada pengesahan teknikal akhir), berikut adalah keperluan minimum peranti yang menyokong penerimaan amaran EWS ini:

  • Apple iPhone: iPhone 11 dan model lebih baharu yang menggunakan iOS 27.2 atau versi terkini.
  • Android: Telefon yang menggunakan Android 12 atau versi terkini.
  • Huawei: Telefon yang menggunakan EMUI 16 atau versi terkini.

Selain itu, pengguna turut dinasihatkan untuk:

  1. Memasang kemas kini perisian terkini pada peranti masing-masing.
  2. Restart telefon selepas proses kemas kini selesai.
  3. Pastikan tetapan Amaran Kecemasan diaktifkan dalam settings telefon korang.

Ujian dalaman bersama pengamal media

Dalam perkembangan sama, pihak MCMC turut mengadakan sesi taklimat khas bersama ketua pengarang media di Cyberjaya bagi menerangkan mekanisme penyampaian amaran ini.

Malah, demonstrasi ujian teknikal dalaman turut dijalankan di bangunan MCMC bagi tujuan penilaian dan penambahbaikan sistem sebelum ia diperluaskan secara berfasa kepada orang ramai.

Pelaksanaan EWS ini merupakan hasil kerjasama erat antara MCMC, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi teknikal berkaitan serta syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

Justeru, orang ramai diingatkan agar sentiasa peka dengan maklumat rasmi dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya menerima notifikasi amaran kecemasan ini nanti.