
Pelakon Fauziah Ahmad Daud meluahkan rasa syukur dan terharu apabila menerima pengiktirafan Anugerah Khas Sepanjang Zaman pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35).
Artikel Berkaitan: FFM35: CEO FINAS Restu Kemenangan Khadam, Juri ‘Pening Kepala’ Pilih Pemenang
Artikel Berkaitan: Shaheizy Sam Belanja 100 Keping Piza Percuma Sempena Kemenangan Di FFM35 – ‘Jemput Datang Ke Kafe Saya, Dibuka Jam 11 Pagi’
Bakat adalah pinjaman Allah

Ketika ditemui OhBulan!, Fauziah atau lebih mesra disapa Ogy berkata, kejayaan yang dikecapinya dalam industri seni hari ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa doa dan didikan kedua-dua ibu bapanya.
Mak, Fauziah dapat ini mak kerana mak. Tanpa doa restu dan didikan mereka berdua, saya tidak akan berada di sini.
Pengiktirafan ini sangat bermakna bagi saya. Saya mula berkecimpung dalam industri ini tanpa sekelumit minat pun sehingga saya jatuh cinta kepada seni lakon.
Ia banyak mendidik saya sebagai seorang pelakon bukan untuk menghakimi watak-watak kita, tetapi untuk memahami kenapa tindakan itu dilakukan oleh watak-watak tersebut.
Jadi, ia banyak membuka minda saya untuk meneroka tentang manusia.
Ogy berkata demikian ketika ditemui pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) yang berlangsung di Instana Budaya, pada Sabtu.
Mengulas mengenai perjalanan seninya, Ogy berkata, arwah ibu dan bapanya pernah berpesan supaya dia sentiasa menjaga bakat yang dimiliki kerana ia merupakan anugerah daripada Allah SWT.
Ujarnya lagi, itu merupakan antara pesanan arwah yang masih menjadi pegangannya sehingga hari ini.
Jikalau Fauziah tidak menjaga bakat ini dengan betul, Allah SWT akan ambil balik kerana ia bukan hak Fauziah tetapi hak Allah SWT. Dia cuma pinjamkan sahaja.
Sebab itu saya terlalu berjaga-jaga dengan bakat ini.
Itu yang menyebabkan saya terpanggil untuk menegur dan mengkritik mereka yang memasuki persada seni secara sambil lewa serta tidak menyedari betapa bertuahnya mereka kerana terpilih menjadi penggiat seni.
Dalam pada itu, pelakon filem Azura ini turut mengingatkan penggiat seni supaya tidak terlalu bergantung kepada populariti kerana perkara tersebut tidak akan kekal selamanya.
Populariti itu hanya sementara dan saya juga pernah melalui perkara itu. Saya bercakap melalui pengalaman saya yang meletup ketika zaman Azura, Ali Setan, Suara Kekasih dan sebagainya.
Masa itu kita muda remaja, semua orang kata cantik tetapi kita harus menerima hakikatnya, kita makin menua dan rupa akan dimamah usia.
Tetapi jika anda mempunyai disiplin dan jiwa yang jujur dalam hasil kerja, itulah yang akan membawa nama anda dan terus meniti di bibir semua orang yang menonton selama-lamanya.








