Pengarah, Shamyl Othman mendedahkan bapanya yang juga pengarah terkenal, Othman Hafsham pernah menasihatinya supaya tidak menjadikan bidang pengarahan filem sebagai kerjaya.

Artikel Berkaitan: FFM35: Khadam Dinobat Filem Terbaik, Bolot 10 Kategori! Bawa Pulang Dana RM1 Juta

Artikel Berkaitan: FFM35: Dominasi 12 Pencalonan, Shamyl Othman Yakin ‘Khadam’ Ada Kekuatan Tersendiri – ‘Kalau Menang, Alhamdulillah’

Pengarah Terbaik FFM35

Menurut Shamyl, bapanya menyarankan agar dia menceburi bidang lain, namun minat mendalam terhadap dunia perfileman membuatkan dia nekad untuk meneruskan legasi keluarga sehingga akhirnya dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) menerusi filem Khadam.

Filem tahun ini banyak bagus dan pengarahnya juga sangat berkaliber. Saya amat berbangga dicalonkan bersama dengan pengarah hebat yang lain.

Saya juga tidak akan berada di sini tanpa ibu dan ayah. Saya membesar di set-set filem yang ayah arahkan. Ketika umur tujuh tahun saya sudah pandai pegang lampu besar di set. Terima kasih ayah dan ibu.

Ayah dan ibu banyak mendorong saya sehingga ke hari ini. Dulu ayah saya cakap jangan jadi pengarah filem, dia suruh buat benda lain. Tetapi saya nekad mahu jadi pengarah dan akhirnya dia restu.

Shamyl berkata demikian ketika ditemui pada sidang media malam kemuncak FFM35 yang berlangsung di Istana Budaya, baru-baru ini.

Mengulas kejayaan luar biasa filem Khadam yang meraih kemenangan dalam 10 kategori pada FFM35, Shamyl mengakui tidak pernah menjangkakan karya tersebut akan menerima pengiktirafan sebesar itu.

Bagaimanapun, dia bersyukur dan menghargai usaha semua pihak yang terlibat dalam menjayakan filem berkenaan, termasuk barisan pelakon serta kru produksi.

Langsung tidak menyangka dengan kemenangan besar ini. Sepanjang proses pembikinan filem, saya dan pasukan hanya mahu berikan yang terbaik. Mengenai anugerah dan pengiktirafan langsung tak fikir.

Selepas filem ini keluar di pawagam, kami menerima banyak sokongan dan reaksi positif selain dapat pencalonan dan pengiktirafan di FFM35.

Rasa bangga dan gembira apabila kerja keras pelakon, kru, pasukan belakang tabir, penerbit dan semuanya membuahkan hasil.

Selain membawa pulang trofi Pengarah Terbaik, Khadam turut meraih kemenangan dalam kategori Filem Terbaik, Tatarias atau Solekan Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Sinematografi Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik serta Anugerah Khas Juri.