Kumpulan nasyid, Brothers bakal kembali mewarnai industri muzik dengan perancangan untuk menghasilkan album baharu.

Artikel Berkaitan: Raikan Tiga Dekad Perjalanan Seni, Sembilan Kumpulan Bakal Bersatu Di Konsert Lagenda Nasyid Malaysia

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Yasin Sulaiman Perjelas Akaun Instagram Palsu Guna Nama Sama – ‘Dia Hantar Mesej Kepada Follower Saya’

Album berkonsepkan acapella

Ketika ditemui OhBulan!, ahli kumpulan Brothers, Yasin Sulaiman berkata, album tersebut dijangka menjalani proses rakaman pada tahun hadapan. 

Jelasnya, album berkenaan mendapat tajaan pihak yang mahukan konsep vokal sepenuhnya tanpa iringan muzik.

Kami sudah berbincang mengenai lagu-lagu untuk album ini, tetapi masih belum memulakan rakaman. Mungkin tahun hadapan.

Album ini mempunyai penaja dan mereka mahukan konsep vokal sahaja tanpa muzik atau acapella. Mungkin lima atau enam lagu akan dimuatkan dalam album ini.

Dari segi susunan lagu, kami akan melakukannya bersama-sama dan ada juga lagu daripada orang lain. Temanya masih mengekalkan identiti Brothers, iaitu kemanusiaan, persahabatan, perjuangan serta nilai-nilai murni yang bersifat universal.

Yasin berkata demikian pada sidang media Pengumuman Konsert Lagenda Nasyid Malaysia yang berlangsung di Rabbani Event Hall, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Dalam pada itu, Brothers turut berkongsi perkembangan penghasilan karya baharu yang dilakukan secara berperingkat.

Mereka bagaimanapun menegaskan bahawa minat terhadap muzik sentiasa menjadi keutamaan dan tidak menghasilkan karya semata-mata untuk memenuhi permintaan industri.

Sebenarnya, ada lebih kurang 11 lagu dan beberapa karya yang sudah kami hasilkan, tetapi masih belum diterbitkan atau dirakam.

Kami bergerak secara perlahan tetapi konsisten dan tidak mahu terburu-buru mengeluarkan single. Ada beberapa pihak yang menghubungi kami dengan cadangan kerjasama.

Bukanlah kami terlalu selektif, cuma mahu memastikan setiap cadangan sesuai dengan rentak dan hala tuju kumpulan.

Kami buat semua ini sebab kami suka, bukan kerana pasaran. Harapnya, ada karya yang dapat diterima pendengar dalam masa terdekat.

Pencetus semangat kembali berkarya

Mengulas lanjut, Brothers turut menyentuh mengenai segelintir pendengar yang lebih mengenali lagu berbanding penyanyi.

Justeru, penganjuran sesebuah konsert dilihat mampu memperkenalkan semula penyanyi lama kepada pendengar.

Kadang-kadang orang lebih kenal lagu berbanding penyanyi. Jadi, mungkin dengan adanya konsert seperti ini serta promosi yang dilakukan, orang ramai dapat mengenali semula penyanyi di sebalik lagu-lagu tersebut.

Acara seperti ini juga menjadi pencetus semangat kepada kami dan kumpulan lain untuk kembali berkarya. Apabila dapat berkumpul semula, suasana itu membangkitkan semangat yang sudah lama tidak dirasai.

Kami berharap platform seperti ini dapat menjadi permulaan kepada lebih banyak kumpulan untuk kembali aktif dan menghasilkan karya baharu. Insya-Allah, mungkin akan ada perkembangan selepas ini.

Sekadar info, Brothers bakal membuat persembahan menerusi Konsert Lagenda Nasyid Malaysia yang turut menampilkan kumpulan nasyid terkenal seperti Raihan, Rabbani, Hijjaz, Saujana, Inteam, UNIC, Aeydan dan NowSeeHeart.

Konsert ini dianjurkan bagi meraikan perjalanan serta sumbangan muzik nasyid sepanjang tiga dekad di Malaysia.

Acara berkenaan dijadualkan berlangsung pada 29 Mei 2027 bertempat di Setia City Convention Centre (SCCC), Setia City, Selangor.