Foto: Tangkap layar video
Sejak semalam, tular sebuah video di media sosial memaparkan sekumpulan wanita dan lelaki bersenjatakan kayu didakwa menghalang dan menyerang pihak polis. Video tersebut bagaimanapun, telah meraih pelbagai respon daripada wargenet yang ingin mengetahui punca kejadian tersebut.
Video kejadian
Saya baru tengok video rusuhan kecil dipercayai di Cheras. Anggota polis dah nak pencen dicekiknya oleh anak muda, dan ditarik-tarik uniformnya.
Harap dikenakan tindakan menghalang penjawat awam. You all boleh baca di FB, even the chinese community slur this kind of action pic.twitter.com/CqZeSRbjCQ
— Projek Hitam (@projekhitam) September 28, 2021
Menerusi laporan yang dipetik daripada Utusan Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menafikan terdapat tindakan bagi merobohkan mana-mana tokong seperti yang berlaku di Sungai Besi, Kuala Lumpur, semalam. Menerusi video tersebut dapat dilihat berlakunya rusuhan dilakukan secara berkumpulan yang didakwa bagi menghalang pihak berkuasa meroboh sebuah tokong di lokasi kejadian.
Ujar Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Idzam Jaafar satu operasi telah dilakukan oleh pihak Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTG) untuk membina pagar penghadang ‘hoarding’ bagi membina jalan. Difahamkan, jalan tersebut akan dijadikan laluan ke sekolah. Operasi tersebut bermula pada 11.45 pagi dan berakhir pada 4 petang, pihak Polis Ibu pejabat Polis Daerah Cheras telah hadir bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi yang dijalankan.
Semasa operasi sedang dijalankan, terdapat kira-kira kurang 30 orang lelaki dan perempuan membawa kayu dan besi. Kumpulan ini telah bertindak menghalang dan memecahkan mesin jentolak selain menyerang anggota polis yang bertugas ditempat kejadian.
Empat individu ditahan
Susulan daripada itu, pihak polis telah menahan empat individu berusia 19 hingga 50 tahun bagi membantu siasatan dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 148 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Malah, satu video berkaitan isu ini telah dimuat naik dilaman Facebook bagi tujuan meraih simpati dan dieksploitasi. Sehubungan dengan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan menggugat ketenteraman awam.
Pihak polis Daerah Cheras menafikan terdapat tindakan untuk merobohkan mana-mana tokong dalam kejadian tersebut.
Pada masa yang sama, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta untuk menghubungi Asisten Superintenden Mohamad Sukri Ishak (Pegawai Penyiasat Kanan) di talian 013-2165881 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan bagi membantu siasatan.