Mulai esok, 2 Ogos 2022, Hot FM bakal tampil dengan dua pembaharuan iaitu penjenamaan semula tagline stesen dan kehadiran dua penyampai baharu Hot FM iaitu Johan dan Fizi Ali.
Kehadiran Johan dan Fizi Ali dalam barisan penyampai Hot FM pastinya akan memberikan satu kelainan pada stesen itu sendiri untuk tampil lebih hangat dan terbaik.
Trio baru segmen pagi
Dengan barisan penyampai yang kini semakin hangat, Hot FM bakal menceriakan pagi pagi anda dengan penampilan Johan, Fara Fauzana & AG di segmen pagi yang diberi nama baharu, Bekpes Hot, HaHaHa-Ngat.
Segmen yang ke udara setiap Isnin hingga Jumaat bermula 6 pagi hingga 10 pagi itu akan memberikan sesuatu yang berbeza kepada pendengar dengan kandungan yang lebih segar, komedi yang melucukan, celoteh dan gelak tawa yang menghiburkan.
Bukan itu sahaja, segmen petang juga bakal tampil dengan pengisian yang lebih segar dengan cerita-cerita hangat masa kini dan akan menjadi geng drama pendengar untuk bercerita tentang drama-drama yang ditayangkan di TV3.
Segmen Sembang Squad itu bakal dikendalikan oleh gandingan terbaru Fad dan Fizi Ali yang ke udara bermula 3 petang hingga 7 malam, setiap Isnin hingga Jumaat.
Segmen 10 pagi hingga 3 petang, Hot FM Non Stop Empat Lima bersama Ayu pula akan memfokuskan kepada 45 minit lagu bebas iklan, music special dan ulangan segmen pagi, manakala segmen malam Hot Flix masih dikendalikan oleh Imran Aqil.
Hot Flix akan ke udara bermula 8 malam hingga 12 tengah malam, setiap hari Isnin hingga Jumaat, memfokuskan pendengar generasi muda, hiburan, interaksi bersama selebriti dan pendengar yang aktif dalam media sosial, ‘gamers’ serta ‘influencers’.
Selain itu juga, Hot FM akan mengadakan jelajah di semenanjung Malaysia bagi mendekati dan meraikan pendengar setia Hot FM yang pastikan akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti antaranya persembahan hebat artis tanah air. Info lanjut mengenai jelajah ini akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
‘Yang Hangat & Terbaik’
Hot FM yang sebelum ini tampil dengan tagline ‘Kini Lebih Muzik Yang Hangat’ telah menukar tagline kepada ‘Yang Hangat dan Terbaik’.
Perubahan tagline ini dibuat kerana elemen identiti jenama ini mampu memberikan gambaran yang menarik dan terbaik dari semasa ke semasa, selain komponen daripada tagline ini berupaya memberikan lebih banyak info mengenai pengisian dan kandungan yang dibuat oleh Hot FM.
Menurut Ketua Rangkaian Kandungan Hot FM & Molek FM, Nik Nor Azura, perubahan tagline tersebut merupakan strategi Hot FM untuk memastikan pendengar sentiasa dekat dengan stesen tersebut.
Pertukaran tagline ini adalah salah satu strategi kami untuk memastikan pendengar akan sentiasa lebih dekat dan ia bersesuaian dengan pengisian yang memfokuskan kepada setiap kandungan, barisan penyampai, muzik serta aktiviti lapangan yang diadakan sentiasa hangat dan terbaik buat pendengar Hot FM yang sentiasa menyokong stesen selama ini.
Hot FM Zoomers kini kembali
Setelah 2 tahun, ‘Duta Jalanan Hot FM’ di lapangan, Hot FM Zoomerz kini kembali untuk mendekati pendengar setia Hot FM.
Hot FM Zoomerz dikenali oleh pendengar dengan pemberian pelbagai barangan eksklusif Hot FM, produk pensampelan daripada klien serta melakukan interaksi dengan pendengar di lokasi terpilih.
Hot FM Zoomerz ditubuhkan semula atas permintaan yang tinggi daripada rakan kongsi dan klien yang menginginkan aktiviti lapangan dilakukan dan terdapat lebih banyak lagi program dan acara yang melibatkan Hot FM Zoomerz akan dijalankan di masa akan datang.