Foto: New York Post
Seorang ibu yang dipercayai berada di fasa meroyan atau Postpartum Depression bertindak di luar kawalan apabila tergamak mencekik tiga orang anaknya sehingga mati. Wanita itu kemudian cuba membunuh diri dengan melompat dari tingkap tingkat kedua rumahnya di Duxbury, Massachusetts.
Ibu meroyan cekik tiga anak
Foto: Cora, Dawson dan Callan (WCVB)
Wanita yang dikenali sebagai Lindsay Clancy mencekik ketiga-tiga anaknya iaitu Cora berusia 5 tahun, Dawson, 3 tahun dan Callan, 7 bulan dalam satu kejadian pada 24 Januari lalu. Ketika kejadian, si suami iaitu Patrick Clancy keluar rumah selama 25 minit untuk mengambil tempahan makanan namun sebaik pulang ke rumah, dia melihat isterinya sudah terbaring di halaman rumah.
Patrick kemudian segera menghubungi talian kecemasan. Patrick kemudian bergegas masuk ke dalam rumah untuk melihat keadaan anak-anaknya tetapi alangkah terkejutnya apabila melihat kesemua mereka berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Cora dan Dawson yang dilihat mengalami kesan trauma akibat dicekik telah dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia. Manakala anak bongsu pasangan ini iaitu Callan yang mengalami kecederaan parah turut menerima rawatan namun disahkan meninggal dunia beberapa hari kemudian. Difahamkan, suspek kini sedang mendapatkan rawatan di hospital.
Susulan daripada kejadian itu, suspek telah menerima kecaman hebat daripada netizen namun Patrick akui sudah memaafkan isterinya. Dalam masa yang sama, dia turut mengajak orang ramai memaafkan dan berhenti mengecam isterinya.