Kalau dulu bila sebut kampung, mesti terbayang jalan berdebu, lampu jalan pun tak ada, dan nak cari internet? Haa, mimpi je la!
Tahukah korang bahawa Kerajaan dah start buat transformasi besar-besaran untuk upgrade kampung-kampung seluruh negara, supaya penduduk luar bandar dapat nikmati kehidupan yang lebih selesa seperti hidup di bandar!
Inisiatif Kampung Angkat Madani beri nafas baru
Dalam Belanjawan 2024, Kerajaan perkenalkan Kampung Angkat Madani iaitu satu program khas yang memfokuskan untuk naik taraf kampung supaya tak ada yang tertinggal dalam arus kemajuan negara.
Kerajaan mahu pastikan kampung-kampung dapat infrastruktur bertaraf dunia seperti jalan yang baik, bekalan air bersih, elektrik yang stabil dan klinik kesihatan yang mantap.
Difahamkan, terdapat dua jenis penumpuan yang diberikan kepada Kampung Angkat Madani iaitu berbentuk fizikal dan bukan fizikal.
Projek fizikal membabitkan penambahbaikan jalan kampung, lampu jalan, bekalan air, capaian Internet, membaiki jambatan atau titi dan sebagainya.
Manakala projek bukan fizikal pula adalah seperti bantuan pengesahan di kawasan setempat seperti pendaftaran program bantuan, perkhidmatan saringan kesihatan dan program bimbingan.
43 Kampung sudah upgrade, tak sangka kan?
Setakat 10 Julai 2024, 43 kampung dah rasa perubahan besar ini dengan peruntukan sebanyak RM86.3 juta. Jalan yang dulu berlopak sekarang dah cantik bertar.
Kampung yang dulu susah nak dapat air bersih, sekarang dah ada bekalan air yang stabil. Bekalan elektrik pun tip top! Memang lain macam upgrade ini, siap ada akses internet lagi. Tak payah pening-pening fikir line slow!
Penduduk kampung sekarang boleh la nak buat macam-macam, anak-anak boleh belajar online dengan lancar, peniaga kecil-kecilan pun boleh promote bisnes kat media sosial tanpa gangguan.
Dan apa yang lebih menarik, kerajaan siap membina jambatan baru dan tambah kemudahan awam untuk pastikan perhubungan antara kampung lebih lancar.
Dengan adanya kemudahan ini, penduduk kampung bukan sahaja lebih selesa, tapi juga buka peluang untuk perkembangan dalam pelbagai sektor ekonomi.
Kampung di mukim Hulu Besut antara bukti penerima manfaat besar
Sebagai contoh, kampung di mukim Hulu Besut, Terengganu menjadi salah satu penerima manfaat besar daripada program Kampung Angkat Madani. Dengan bantuan peruntukan daripada Kementerian Kewangan (MOF), kampung ini mengalami perubahan besar dalam infrastruktur asasnya.
Mana tidaknya, sebanyak 25 bot penyelamat banjir bernilai RM200,000 telah diserahkan kepada Pejabat Daerah Besut untuk kegunaan 10 kampung di mukim Hulu Besut.
Bot penyelamat banjir yang diberikan dapat memanfaatkan hampir 5,000 penduduk di kesemua kampung tersebut iaitu Kampung Batu 13, Kampung Cawangan, Kampung Panchor, Kampung La, Kampung Seberang La, Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh, Kampung Keruak, Kampung Pak Sik dan Kampung Kuala Sayap.
Dengan adanya bot penyelamat banjir ini, proses untuk pindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan akan jadi lebih smooth. Malah, empat balai raya sudah disiapkan jadi pusat pemindahan kekal, lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk dapur!
Ini semua untuk pastikan penduduk dan mangsa banjir lebih selesa. Inilah salah satu usaha Kerajaan Madani nak pastikan bantuan sampai terus ke rakyat dengan pantas!
Menerusi laporan, Pegawai Daerah Besut, Ahmad Nazwawi Harun sangat berterima kasih kepada MOF kerana memilih kampung di Hulu Besut sebagai Kampung Angkat Madani! Keputusan ini memang beri manfaat besar kepada penduduk.
“Ia memberi impak yang sangat positif, terutama dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul di peringkat kampung,
“Kita juga ada jawatankuasa pengurusan banjir yang dikendalikan oleh penghulu-penghulu mukim, bertujuan untuk membantu agihan bot yang disumbangkan ini bagi memudahkan operasi pemindahan dan bantuan ketika bencana banjir melanda.” katanya.
Masa depan yang lebih cerah untuk kampung-kampung di Malaysia
Inisiatif Kampung Angkat Madani ini bukan sekadar menaik taraf kampung dari segi fizikal sahaja, tapi turut membantu merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar.
Dengan infrastruktur yang lebih maju, kemudahan asas yang tip top dan fokus kepada pendidikan serta kesihatan, kampung kini sudah berubah wajah.
Penduduk kampung tidak lagi rasa terkebelakang dan boleh menikmati kualiti hidup yang jauh lebih baik.
Lihat sahaja bagaimana kampung di mukim Hulu Besut terima manfaat yang menguntungkan mereka. Transformasi ini bukan sekadar untuk masa sekarang, tapi juga persediaan untuk masa depan yang lebih cerah buat generasi akan datang.
Memang tak mustahil, kampung-kampung yang dulu dianggap ‘tertinggal’ kini mampu bersaing dengan kawasan bandar.