Seruan azan di TV3 yang sebelum ini sekian lama menjadi panduan harian buat umat Islam mula diperkenalkan dengan versi terbaharu.
Artikel Berkaitan: Raikan Ulang Tahun TV3 Ke-40 Dengan Nostalgia, Inovasi & Keseronokkan
Versi baharu azan di TV3
Azan baharu di TV3
Melihat kepada peredaran zaman, Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) akan menyiarkan laungan azan yang lebih berinovasi menerusi pendekatan yang lebih segar termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Bermula pada semalam (15 Januari 2025), laungan azan baharu yang lebih merdu dan syahdu di TV3 sudah mula dibawakan oleh laungan azan Sheikh Abdul Karim Umar Al Makki.
Pelancaran laungan azan itu juga akan disempurnakan menerusi program baharu yang dibawakan oleh TV3 serta TV9 dan Tonton iaitu ‘Inspirasi Raudhah: Panggilan Jiwa, Penghubung Iman’ yang bakal disiarkan secara langsung di platform TikTok TV3.
Program ini hadir dalam bentuk empat siri istimewa dengan siri pertama telah berlangsung pada Rabu di Menara Kuala Lumpur, Kuala Lumpur dan mengangkat tema ‘Azan’ sebagai fokus utama.
Manakala bagi tiga lagi siri yang lain adalah bertujuan untuk memberikan inspirasi serta pengisian rohani kepada penonton di mana siri ini akan menampilkan tokoh agama terkemuka bersama tetamu jemputan yang berkongsi hikmah, pandangan dan pengalaman mereka terhadap topik-topik yang ditampilkan.
Dihoskan oleh pengacara hebat TV3 iaitu Fedtri Yahya dan Hj. Ahmad Noor Sulaiman, program ‘Inspirasi Raudhah: Panggilan Jiwa, Penghubung Iman’ ini akan membawakan perbincangan berkaitan ilmu agama yang sarat dengan ilmu dan mendalam.
Perluas mesej keagamaan
Menurut Menurut Ketua Jabatan Pengisian Islam Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad iaitu Encik Ruzmi Kamaruddin, pembaharuan yang cuba diketengahkan ini diharapkan mampu menjadi pemangkin baharu yang lebih bermakna buat penonton.
Kami percaya bahawa azan ialah lambang perpaduan dan penghubung rohani bagi umat Islam di seluruh dunia. Pembaharuan ini bukan sekadar memberi sentuhan segar daripada segi visual dan audio, tetapi juga mencerminkan penghormatan kami terhadap tradisi suci yang tidak pernah pudar nilainya.
Azan baharu ini diharap menjadi pemangkin kepada pengalaman baharu yang lebih bermakna untuk penonton, sambil memperluas mesej keagamaan melalui platform digital dan televisyen sebagai medium skrin kedua.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan siri istimewa, ‘Inspirasi Raudhah: Panggilan Jiwa, Penghubung Iman’ yang bersiaran secara langsung di platform TikTok TV3.
Untuk info terkini dan kandungan menarik, layari laman sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube, dan Instagram di @TV3Malaysia, serta TV9 di @TV9Malaysia dan TikTok @TV9MalaysiaOfficial untuk lebih banyak lagi kandungan eksklusif dan menarik!