Konsert Hitam Manis yang menggabungkan tiga penyanyi hebat iaitu Datuk Hattan, Hazama dan juga Black berjaya memukau 2,500 penonton yang hadir ke Plenary Hall bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 8 Februari lalu.
Artikel Berkaitan: Hattan, Black & Hazama Bakal Kongsi Pentas, Konsert Di Plenary Hall 8 Februari Tahun Depan
Pukau ribuan penonton
Pada malam konsert tersebut, tiga gabungan jejaka hitam manis itu telah membuka pentas dengan lagu asal ciptaan komposer terkenal, Datuk M. Nasir yang berjudul Duit.
Kemudian, diteruskan dengan Hazama yang menyampaikan beberapa buah lagu popular nyanyiannya seperti Relakan Jiwa, Cinta Teragung, Di Amaran Mama serta lagu terbaharunya yang berjudul Semacam Pandora.
Selesai sahaja membuat persembahan, konsert Hitam Manis diteruskan lagi dengan persembahan memukau daripada Black yang mendendangkan lagu seperti Sofea Jane, Aku Rindu Sayang Kamu, Hijab Rindu serta lagu Pok Pet yang turut menampilkan anak sulungnya, Khaleef Dayyan di atas pentas.
Sehinggalah segmen paling ditunggu-tunggu penonton apabila kemunculan Hattan yang berjaya memukau kesemua penonton hadir dengan alunan suaranya yang begitu lunak dan merdu.
Antara lagu yang didendangkan Hattan termasuklah Biso Bonar, Memburu Rindu, Mahligai Syahdu dan Rendang Tak Berbuah.
Tribute buat arwah Jay Jay
Selain menyanyikan lagu asal nyanyian masing-masing, Hattan, Hazama dan Black turut melakukan tribute buat penyanyi, Allahyarham Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Darus.
Ketika segmen tribute, Hattan, Hazama dan Black mendendangkan lagu Jay Jay yang bertajuk Rindu Bayangan sempena memperingati penyanyi yang merupakan sahabat baik kepada Hattan itu.
Selain itu, tiga penyanyi hebat ini turut menyajikan segmen persembahan secara trio dan duo dengan mendendangkan lagu Dari Kekasih Untuk Kekasih, Rindu Bertandang Lagi, Drama King dan Sonata Musim Salju.
Sepanjang konsert berjalan, ketiga-tiga penyanyi ini tidak putus memberikan persembahan yang bertenaga buat semua penonton yang hadir.
Bukan sahaja persembahan nyanyian, konsert tersebut turut diselitkan dengan lawak jenaka yang berjaya menggeletek hati penonton.
Sebelum menutup tirai, Hattan yang turut menampilkan anaknya iaitu Adam Eiman telah menyampaikan lagu Gadis Jolobu sebelum mengakhiri malam tersebut dengan lagu Hitam Manis bersama Hazama dan Black.