Bulan Ramadan tahun ini akan membawa satu erti besar buat pasangan pelakon, Aidil Aziz dan Fasha Sandha apabila mereka berpeluang untuk meluangkan lebih banyak masa berkualiti bersama.
Artikel Berkaitan: Kempen ‘Indahkan Memori’ Berseri Dengan Kehadiran ‘Friends of Ramadan Raya’
Jadi wajah kempen Ramadan TV3
Ketika ditemui OhBulan!, Fasha berkata, pembabitannya bersama keluarga dalam program ‘Oh Mummy!’ terbitan TV3 memaparkan realiti sebenar kehidupan mereka ketika menjalani ibadah puasa akan menjadi lebih menerujakan.
Mana tidak, program tersebut akan menjadi program pertama melibatkan anaknya iaitu Aisha Amaira di kaca televisyen.
Program Oh Mummy! mengenai keluarga saya yang memaparkan bagaimana kami bersama-sama dalam menjalani rutin harian dan ibadah puasa.
Ini pengalaman pertama Aisha untuk muncul di televisyen (TV), jadi pada saya ia sangat eksklusif. Sebelum ini Aisha memang tidak pernah terbabit dengan perkara sebegini.
Pada awal kami gemuruh juga dan banyak kali minta maaf kepada produsksi sebab Aisha tak biasa dengan kamera tetapi Alhamdulillah semuanya beri kerjasama dengan baik dan Aisha tiada masalah.
Bercakap mengenai pembabitan Aisha, pemilik nama Nur Fasha Sandha Hassan ini memaklumkan dia bersetuju dengan tawaran diberikan kerana tidak memerlukan anak bongsunya itu untuk berlakon.
Pada awal saya tak pasti sama ada mahu teruskan atau tidak, tapi selepas berbincang dengan Aidil kami sepakat untuk jadi diri sendiri sahaja.
Saya ada berbincang dengan Aidil kerana Aisha tidak biasa dengan perkara sebegini. Tapi, kami fikir kalau mahu anak jadi ‘star’ perlu bermula dari kecil.
Aisha tiada masalah berhadapan dengan orang ramai walaupun mungkin agak lambat sikit untuk mesra. Aisha perlu masa untuk ‘scan’ orang sekeliling sebelum boleh mesra.
Ramadan tampil berbeza
Sementara itu, Aidil menyifatkan Ramadan tahun ini sangat berbeza buat mereka sekeluarga kerana dipilih menjadi wajah bagi kempen Ramadan Raya 2025 (RaRa 2025).
Sememangnya tahun ini akan jadi Ramadan dan Syawal yang lebih bermakna disebabkan peluang untuk menjadi wajah kepada kempen Ramadan TV3.
Ini adalah pengalaman baharu untuk kami sekeluarga terutama Aisha kerana belum pernah berada di mana-mana platform stesen TV.
Jadi, kita akan cuba meriahkan lagi program dengan kehadiran kami supaya orang di luar sana lebih menghargai memori bersama keluarga.
Selain Fasha, Aidil dan Aisha, Friends of RaRa 2025 dibawakan khas oleh TV3, TV9, dan Tonton ini turut menampilkan personaliti TV3 iaitu Farah Nabilah Wazer, Naz Rahman, Fatin Hamimah serta Amirulhakim Lokman selaku wajah kempen.