Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar mengesahkan kes khalwat membabitkan dua selebriti tanah air, Aliff Aziz dan Ruhainies sudah selesai.
Artikel Berkaitan: ‘Bayang’ Aliff Aziz & Ruhainies Tak Kelihatan, Kes Khalwat Dijangka Tunda
Artikel Berkaitan: Ruhainies Respon Dakwaan Bercinta Dengan Aliff Aziz, Berbalas Emoji ‘Love’ – ‘Kami Saling Menyokong & Berkongsi Nasihat’
Kes khalwat selesai
Mohd Na’im berkata, dua selebriti itu menarik semula pengakuan tidak bersalah dan akhirnya mengaku bersalah dalam satu prosiding yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, pada 21 Februari lalu.
Saya boleh sahkan pada peringkat awal, kedua-dua mereka ini mengaku tidak bersalah, jadi berdasarkan pengakuan tidak bersalah itu, mahkamah meletakkan tarikh untuk perbicaraan.
Bagaimanapun pada 21 Februari, kedua-dua tertuduh telah memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka berhasrat untuk menarik balik pengakuan tidak bersalah dan ingin mengaku bersalah.
Jadi pengakuan bersalah itu telah direkodkan oleh mahkamah. Mahkamah tanya ada sebarang paksaan atau tidak, mereka mengaku bersalah tanpa ada sebarang paksaan. Mereka mengaku bersalah dengan sukarela.
Mohd Na’im memaklumkan perkara itu ketika ditemui di majlis pelancaran program Ramadan dan Syawal 2025 TV Alhijrah yang berlangsung di ibu kota, pada Khamis.
Denda RM3,000
Tambah Mohd Na’im lagi, Aliff dan Ruhainies sudah pun membayar denda sebanyak RM3,000 setiap seorang.
Mahkamah kemudian rekodkan pengakuan bersalah itu dan memberi penghakiman berdasarkan pengakuan bersalah tersebut.
Seperti mana yang dimaklumkan oleh Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Perseketuan, hakim jatuhkan hukuman untuk mereka membayar denda sebanyak RM3,000 setiap seorang dan sekiranya gagal, penjara selama tiga bulan.
Jadi saya difahamkan kedua-dua tertuduh sudah membayar denda tersebut dan kes selesai, tutup buku.
Pada 20 Jun tahun lalu, Aliff dan Ruhainies hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi proses lanjutan bon jamin berhubung kes khalwat di sebuah kondominium.
Media sebelum ini melaporkan seorang selebriti berstatus suami orang dan pelakon wanita dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur.
Sumber dilaporkan berkata, tangkapan dibuat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hasil maklumat awam. Pasangan itu dicekup di kediaman pelakon wanita terbabit.