
Tanpa perlu menunjuk, pelakon dan pengarah terkenal Datuk Aaron Aziz sentiasa mengutamakan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.
Sejak beberapa tahun lalu, Aaron giat menjalankan pelbagai aktiviti kebajikan dan kemanusiaan, bukan sahaja di Malaysia, malah turut merentasi sempadan negara.
Artikel Berkaitan: ‘Saya Islam, Sokong Gaza’ – Aaron Aziz Perjelas Salah Faham Video Temu Bual
Artikel Berkaitan: ‘Saya Cuma Pernah Nampak Ayah Menangis Dua Kali, Ketika Nenek Meninggal & Malam Tadi’ – Anak Aaron Aziz
Dapat bantu rakyat di Kemboja
Menurut perkongsian di Facebook oleh wakil Charitable Association of Cambodian Islamic Graduates (CACIG), jalinan kerjasama dengan Aaron yang terjalin sejak tahun 2020 telah memberi impak besar kepada komuniti di Kemboja.
Alhamdulillah, CACIG pernah bekerjasama dengan Datuk Aaron Aziz dalam program kebajikan sejak tahun 2020.
Atas kerjasama dan bantuan Aaron, kami dapat menyalurkan sumbangan daripada penderma Malaysia dan Singapura untuk membantu anak-anak yatim, fakir miskin dan nelayan di Kemboja.
Hasil daripada sokongan berterusan pelakon filem Ombak Rindu itu juga, CACIG berjaya melaksanakan pelbagai projek kebajikan termasuk pembinaan rumah wakaf, madrasah, penyediaan sampan, bekalan makanan dan sumber air minum untuk nelayan yang memerlukan.
Kami ingin merakamkan jutaan terima kasih atas kerjasama dan bantuan daripada Datuk Aaron Aziz serta seluruh ahli keluarga, rakan-rakan dan semua penderma yang dermawan.
Hanya Allah jua dapat membalas jasa baik kalian semua. Jazakumullah khairan.
Bantu masa PKP
Selain kerja kebajikan di luar negara, bapa kepada tiga cahaya mata ini turut aktif membantu masyarakat di dalam negara, terutamanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sewaktu pandemik COVID-19.
Ketika ramai terjejas, Aaron antara individu yang tampil menghulurkan sumbangan kepada keluarga yang memerlukan, tanpa sebarang publisiti besar.
Perkara itu turut dikongsi beberapa pihak yang memaklumkan Aaron juga menghantar bantuan ke beberapa lokasi di negeri Sabah, Pahang, Perlis, Kedah, Johor dan Selangor. Ia juga termasuk bantuan kepada mangsa banjir.
Tidak cukup dengan itu, pada tahun lalu Aaron juga pernah terbabit dalam program Malaysia4Palestin yang dianjurkan pihak Astro.
Progran ini adalah inisiatif untuk selebriti memberi sumbangan dari segi tenaga kerja selain sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.