berita

Abadi Cinta Sampai Mati, Suami Sanggup Gali Kubur & Tidur Dengan Mayat Isteri Hampir 17 Tahun

August 10th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Pada tahun 2009, dunia dikejutkan dengan kisah seorang lelaki, Le Van dari Vietnam yang sanggup menggali kubur mendiang isteri dan memasukkan mayatnya ke dalam simen. Lebih menyayat hati apabila si suami yang tidak dapat menerima pemergian isteri tercinta sanggup tidur di pangkuan mendiang hampir 17 tahun.

Berkahwin pada tahun 1975

Ramai yang menyangka ini adalah kisah yang direka-reka dan sengaja disensasikan kerana cara meratap Le Van terhadap mendiang isterinya sangat luar biasa dan jarang sekali dilakukan orang. Le Van dan isterinya mendirikan rumah tangga pada tahun 1975 dan perkahwinan itu telah diatur oleh kedua belah keluarga ketika usia mereka masih muda lagi. Difahamkan, mereka langsung tidak mengenali antara satu sama lain apatah lagi berkongsi perasaan cinta tetapi selepas Le Van pulang dari perkhidmatan ketenteraan, mereka dinikahkan.

Selepas bergelar suami isteri, mereka mula mengenali hati budi masing-masing dan selepas daripada itu, barulah terbit rasa cinta. Hasil daripada perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan seramai 7 orang cahaya mata. Pasangan suami isteri ini telah melayari bahtera perkahwinan mereka dengan aman damai dan bahagia. Tetapi siapa sangka, kegembiraan mereka ‘hilang’ dalam sekelip mata sahaja.

Gali kubur isteri

Pada tahun 2003 ketika Le Van sedang bekerja di luar, dia telah menerima panggilan yang memaklumkan isterinya sudah meninggal dunia. Le Van bergegas pulang ke rumahnya, tetapi dia hanya berkesempatan menatap wajah mendiang untuk beberapa minit sahaja sebelum dikebumikan.

Le Van menghabiskan masa siang dan malamnya di tanah perkuburan dan tidur di sebelah kubur mendiang isterinya. Tetapi selepas hampir 22 bulan tidur di sana, dia mula risau keadaan kesihatannya memandangkan cuaca agak buruk. Anak-anak yang mengetahui ‘tempat tidur’ baru Le Van telah melarang bapanya itu pergi ke tanah perkuburan. Untuk terus dekat dengan isteri tercinta, Le Van nekad untuk menggali kubur dan membawa mendiang pulang ke rumah supaya dia dapat tidur bersama.

Jaga sampai akhir hayat

Walaupun tindakannya itu ditentang oleh keluarga, saudara-mara, rakan-rakan dan penduduk kampung tetapi Le Van langsung tidak mengendahkannya. Hal ini kerana dia mengakui tidak sanggup membiarkan isterinya itu pergi dalam waktu terdekat. Tidak cukup dengan itu, Le Van kemudian membuat satu patung berbentuk manusia dan memasukkan mayat isterinya ke dalam patung tersebut sebelum disimen.

Selepas selesai, dia meletakkan patung isterinya itu di sebelah katil dan tidur bersama selama hampir 17 tahun. Disebabkan tindakan itu, jiran tetangga enggan berkunjung ke rumahnya. Walaupun sudah berkerusi roda hampir 2 tahun, Le Van masih gagah menjaga isterinya dengan menyolek dan menukar pakaiannya setiap hari. Le Van turut mengakui dia sering dianggap sebagai ‘lelaki’ gila tetapi dia tidak kisah dengan tanggapan tersebut dan akan bersama isterinya hingga ke akhir hayat.

Sumber: Oddity Central, Guardian

SKIP THIS AD ×