berita

ABPBH 34 Jalin Kerjasama Dengan TikTok Untuk Kali Kedua, Tampil Satu Lagi Kategori Baru ‘Artis TikTok Popular’

October 4th, 2021 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Foto: Pemenang Anugerah FANtastik Popular ABPBH 33

Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) edisi ke-34 kali ini dirancakkan lagi dengan kerjasama TikTok, yang membawa kembali kategori Anugerah FANtastik Popular ABPBH 34 dan memperkenalkan kategori baru iaitu Artis TikTok Popular ABPBH 34.

Sesuai dengan norma baharu

Foto: Shamshul Azree Samshir

Menurut Pengarang Berita Hiburan (BH) merangkap Pengarah Jawatankuasa Pengelola ABPBH 34, Shamshul Azree Samshir, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan TikTok untuk dua tahun berturut-turut.

Setinggi penghargaan diucapkan kepada TikTok yang tampil sekali lagi untuk menjalin kerjasama dengan BH. Kami di BH sentiasa proaktif dalam melakukan penambahbaikan dalam penganjuran ABPBH, terutama membabitkan pencalonan dan kategori yang dipertandingkan. Pengiktirafan yang diberikan oleh ABPBH bukan sahaja kepada artis, selebriti dan karyawan, malah kami juga ingin memberi penghargaan kepada kelab peminat yang sentiasa menjadi nadi kuat dalam menyokong industri seni tanah air sekaligus berperanan dalam membantu penganjuran ABPBH untuk kekal bertahan lebih daripada tiga dekad.

Shamshul Azree turut berkata bahawa kerjasama dengan TikTok bersesuaian dengan penganjuran ABPBH 34 dalam norma baharu di mana ruang yang lebih luas diberikan kepada kelab-kelab peminat untuk berkarya dan menunjukkan kreativiti masing-masing di samping menyatakan sokongan yang berterusan kepada artis-artis kesayangan mereka dengan menggunakan platform TikTok.

Jalinan kerjasama ini juga dapat menyemarakkan lagi ABPBH di platform digital sesuai dengan sokongan kepada usaha kerajaan untuk duduk di rumah dan perangi pandemik COVID-19.

Bawa pulang hadiah menarik

Foto: Pemenang ABPBH 33

Melalui kategori Anugerah FANtastik Popular ABPBH 34, artis dan kelab peminat (FC) yang meraih undian tertinggi, bakal membawa pulang trofi berprestij ABPBH 34. Bagi memeriahkan lagi penganjuran ABPBH 34, peminat juga boleh berkongsi video TikTok paling kreatif menggunakan lagu penaja utama ABPBH 34 iaitu Xiaomi yang bertajuk Untukku Xiaomi bersama gaya tari yang ditetapkan dengan meletakkan tanda pagar #ABPBH34.

Untuk menyertai #ABPBH34 kempen video TikTok ini, pengguna perlu ikuti akaun TikTok TV3 Malaysia dan Xiaomi Malaysia. Video paling kreatif dengan ‘likes’ dan ‘engagement’ paling tinggi berpeluang memenangi hadiah- hadiah menarik dari Xiaomi. Pemilihan pemenang adalah tertakluk kepada cara menyertai peraduan dan pihak penganjur berhak menentukan video pemenang melalui budi bicara dan keputusan penganjur adalah muktamad.

Pemenang bakal membawa pulang hadiah-hadiah menarik. Tempat pertama bakal memenangi peranti Xiaomi 11T Pro (8+256 GB) dan Redmi Buds 3 Pro. Manakala pemenang tempat kedua akan menerima hadiah peranti Xiaomi 11T (8+128 GB) dan Redmi Buds 3 Pro, dan pemenang tempat ketiga akan menerima peranti Xiaomi 11 Lite 5G NE (8+128 GB) dan MI Smart Band 6. Pihak penganjur turut menawarkan 20 hadiah saguhati berupa barangan eksklusif daripada Berita Harian. Tarikh penyertaan dan undian bagi kedua-dua kategori tersebut boleh dilakukan mulai hari ini, 4 Oktober 2021 sehingga 7 November 2021 di laman aplikasi TikTok.

Setiap pengguna boleh membuat 20 undian setiap hari dan lima undian tambahan akan diberikan jika pengguna meletakkan tanda pagar #ABPBH34. Pengguna juga boleh mendapatkan tambahan 10 undian lagi jika mereka memperkenalkan ‘Invite’ pengguna baru kepada TikTok dan pengguna mendapat pengenalan ‘Invited’ dari pengguna TikTok yang lain.

Buat pengetahuan korang, malam kemuncak ABPBH 34 juga bakal disiarkan secara langsung menerusi aplikasi TikTok bermula jam 9.00 malam pada hari Sabtu, 13 November 2021. Untuk mengetahui lebih lanjut dan informasi terkini ABPBH 34, boleh ikuti laman sosial Facebook dan Instagram BH.

SKIP THIS AD ×