
Penyanyi, Ernie Zakri tampil menjelaskan mengenai penampilannya yang hanya memakai blouse ringkas dan sandal ketika naik ke pentas menerima trofi Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian ke-37 (ABPBH37).
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Ernie Zakri Bintang Paling Popular ABPBH 37, Raih 124,448,198 Undian
Dah balik
Ernie atau nama penuhnya, Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, berkata dia sudah pulang ke hotel dan menukar pakaian selepas menerima trofi Penyanyi Wanita Popular, sebelum merancang keluar makan malam bersama keluarga.
Namun, dia terpaksa bergegas kembali ke lokasi acara apabila dihubungi pihak produksi tanpa sempat menukar semula busana berona unggu muda yang digayakannya sebelum itu.
Selepas terima trofi Penyanyi Wanita Popular, saya terus balik. Kerana saya anggap sudah tiada apa. Suami dan anak sudah tunggu di kedai makan untuk kami makan bersama dan raikan kemenangan Penyanyi Wanita Terbaik.
Saya sudah pun balik hotel dan tukar baju. Kemudian saya dihubungi untuk datang semula ke acara. Jalan pula sesak, saya ambil keputusan untuk keluar dari kereta dan berlari ke lokasi.
Blouse saya pakai ini pakaian yang selalu pakai di rumah, tudung sarung ini beli dekat TikTok shop sahaja.
Ernie berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media ABPBH37 selepas dia dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular.
Mengulas mengenai kemenangannya, pelantun lagu Aura itu berkata, dia mendedikasikan anugerah tersebut kepada peminatnya yang tidak berhenti mengundi dan menyokong karier seninya.
Jujur saya katakan, kemenangan trofi Bintang Paling Popular adalah untuk peminat. Mereka yang mengundi saya siang dan malam tanpa henti. Saya akui langsung tidak sangka akan memenangi kategori utama.
Melihat jumlah undian pun saya sangat terkejut. Hal ini membuktikan bahawa jangan sesekali pandang rendah dengan peminat.
Peminat saya setiap tahun tanpa lelah terus menyokong dan mengundi saya setiap kali tercalon. Saya juga belajar daripada peminat supaya tidak cepat putus asa dalam sesuatu perkara.
Dua tahun lepas peminat menangis kerana saya tidak menang apa-apa, tahun ini kami menangis bersama kerana rezeki yang tidak disangka dari Tuhan.
Terdahulu, Ernie dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular ABPBH37 selepas berjaya meraih 124,448,198 undian sekali gus mengetepikan empat calon lain iaitu Wani Kayrie, Emma Maembong, Sweet Qismina dan Tracie Sinidol.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu juga berjaya membawa pulang wang kemenangan berjumlah RM30,000 beserta trofi.