berita

Ada Gerakan Massa: #terimakasihcikgu di Sarawak? Ini Yang Korang Kena Tahu Tentangnya!

March 18th, 2024 | by Aimi Raihana Mudzakir
Kini Trending

Terima kasih, Cikgu!

Ingat lagi zaman sekolah korang? Setiap kali habis waktu mata pelajaran, kita berdiri dan ucap terima kasih kepada guru yang mengajar. Sebenarnya tu suatu permulaan untuk kita hargai jasa guru yang telah beri ilmu kepada kita tau.

Oleh sebab tu, setiap tahun kita akan menyambut Hari Guru pada 16 Mei untuk meraikan para guru. Tak kisah guru tadika, guru sekolah, pensyarah, ia merupakan hari istimewa untuk kita menghormati warga pendidik.

Tahu tak? Suatu majlis pelancaran telah diadakan sebelum Sambutan Hari Guru tahun 2024 tau.

Majlis Gerakan Massa: #terimakasihcikgu dapat sambutan meriah di Sarawak

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dengan sokongan Pelibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS) Sarawak jadi tuan rumah bagi menjayakan Majlis Gerakan Massa: #terimakasihcikgu atau ringkasnya dipanggil #TKC pada 8 dan 9 Mac 2024 bertempat di Hikmah Exchange Event Centre Kuching (HEEC).

Buat pengetahuan korang, Encik Omar bin Mahli, Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia telah dijemput ke Wanita Hari Ini (WHI) pada 5 Mac 2024 (Selasa).

Sewaktu temu bual, Encik Omar berkongsi perkara menarik tentang Gerakan Massa: #terimakasihcikgu. Korang pun mesti kali pertama dengar jugak kan? Jom kita tengok fakta menarik tentangnya!

Sebagai pra-sambutan Hari Guru, semua pihak boleh raikannya!

Dengan adanya Gerakan Massa: #terimakasihcikgu, bukan setakat warga pendidik, malah para ibu bapa, komuniti serta pihak swasta boleh rasai kehangatan sambutan Hari Guru, biar pun sekadar ucapan TERIMA KASIH, CIKGU.

Boleh dikatakan, ia sebagai pra kepada sambutan Hari Guru yang akan diadakan pada bulan Mei nanti tau.

Jalinan mesra ibu bapa, komuniti & sektor swasta bersama warga pendidik

Bukan setakat majlis pelancaran, tapi Gerakan Massa: #terimakasihcikgu akan berterusan hingga Mei 2024 supaya dapat bangkitkan kehangatan Sambutan Hari Guru yang bakal tiba pada 16 Mei nanti.

Program ni akan menyanjung, menghargai dan mengiktiraf jasa guru melalui penglibatan dan kebersamaan ibu bapa, komuniti serta sektor swasta sebagai rakan strategik dalam dunia pendidikan.

Senang cerita, ia salah satu usaha murni permuafakatan antara ibu bapa dan warga pendidik dalam mewujudkan ekosistem sekolah yang harmoni dan mesra.

Sebagai tarikan untuk orang ramai datang ke Sarawak

Semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) ada banyak pengalaman menganjur pelbagai program peringkat kebangsaan. JPN Sarawak pun tak terkecuali tau.

Sarawak terkenal dengan tempat pelancongan menarik serta keunikan etnik dan kebudayaan. Sarawak juga ada fasiliti serta kemudahan yang baik untuk melancarkan program ni.

Sebab tu Majlis Gerakan Massa: #terimakasihcikgu diadakan di Sarawak.

Banyak aktiviti menarik, seronok pulak tu!

Paling best pada hari kejadian, Gerakan Massa: #terimakasihcikgu dipenuhi dengan pelbagai acara dan aktiviti menarik. Ini antaranya:

  • Aktiviti Sihat Cergas Gerakan Massa: #terimakasihcikgu
    • ‘Juh Kayo Kayo’
  • Karnival Gerakan Massa #terimakasihcikgu
    • Bicara Ilmu
    • Bicara Santai
    • Demonstrasi Masakan Tradisional Sarawak
    • Pertandingan melukis
    • Pertandingan Bakat Murid
  • Majlis Pelancaran Gerakan Massa #terimakasihcikgu Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 pada 9 Mac 2024
  • Pameran
    • 20 booth pameran oleh KPM dan pelbagai agensi
  • Persembahan sampingan (Pocket Show) oleh murid-murid sekolah sekitar Kuching, Sarawak

Suasana memang cukup meriah sewaktu Majlis Gerakan Massa: #terimakasihcikgu. Korang yang dapat pergi ke Sarawak hari tu mesti seronok kan? Bertuahnya!

Untuk info lebih lanjut tentang Gerakan Massa: #terimakasihcikgu, korang boleh terus ke Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia. Selamat Hari Guru buat para pendidik!

SKIP THIS AD ×