
Pelakon, Riezman Khuzaimi menepis stigma segelintir pihak yang melabel golongan yang meminati dunia permotoran atau digelar ‘mat rempit’ sebagai individu yang tidak mempunyai masa depan yang cerah.
Artikel Berkaitan: Tracie Sinidol Hampir Buta Sebelah Mata Akibat Terkena Bulu Tangkis, Trauma Main Badminton
Mat rempit ada masa depan

Riezman, 55, berkata minat terhadap motosikal tidak seharusnya dijadikan ukuran untuk menilai masa depan seseorang kerana ramai dalam kalangan mereka sebenarnya mempunyai potensi dan latar belakang pendidikan bagus.
Mat rempit, mereka ini sebenarnya golongan yang mempunyai jiwa kelajuan dan minat yang sangat kuat terhadap motosikal dua roda.
Saya waktu muda juga sangat minat dan sertai kumpulan mat motor. Sebenarnya dalam kalangan mereka ada yang bagus dan berpelajaran.
Istilah “rempit” itu sebenarnya diberikan oleh masyarakat. Hakikatnya mereka hanyalah budak-budak yang minat motosikal.
Zaman sekarang, saya percaya ada dalam kalangan budak motor yang menjadi doktor, peguam, tapi mereka mungkin pernah melalui fasa mat rempit.
Riezman berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersempena pelancaran filem Malaikat Malam yang berlangsung di Kingstone Hotel, Bukit Jalil, baru-baru ini.
Tambah Riezman, minat terhadap motosikal bagi kebanyakan individu hanyalah sekadar hobi dan masyarkat tidak wajar menjadikan itu alasan untuk memandang rendah terhadap mereka.
Bagi mereka, motosikal mungkin sekadar hobi atau minat. Tidak boleh melabel mat rempit ini sebagai gelap masa depan. Ramai sebenarnya yang berjaya. Malah sekarang pun ramai bekas mat rempit yang sudah berniaga.
Saya sendiri dari muda sehingga sekarang masih aktif dan minat dengan motosikal. Sampai hari ini saya masih menunggang motosikal hampir setiap hari kerana ia juga sudah menjadi satu keperluan.
Habis beribu buat motor

Berkongsi pengalaman ketika aktif dengan dunia pemotoran, Riezman memberitahu dia pernah berhabis ribuan ringgit semata-mata untuk mencantikkan motosikal miliknya.
Biasanya orang yang minat motosikal ini akan suka mengubah suai atau mencantikkan motor mereka. Itu perkara biasa.
Jarang ada yang membeli motor dan membiarkannya dalam keadaan standard. Kebiasaannya mereka akan ubah suai sedikit sebanyak.
Saya sendiri dulu banyak berhabis duit untuk mencantikkan motosikal. Pada zaman dahulu pun boleh dikatakan beribu juga wang dibelanjakan.
Selalunya perkara pertama yang dibuat ialah menukar satu set bahagian motosikal, contohnya set merah. Kadang-kadang kita cuba elakkan daripada menggunakan set merah, tetapi akhirnya tetap juga kena tukar.
Dalam perkembangan lain, Riezman membintangi filem Malaikat Malam yang akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 26 Mac ini.
Selain Riezman, filem arahan pengarah baharu, Nazifdin Nasrudin itu turut dibintangi Syafiq Kyle, Tracie Sinidol Que Haidar, Amir Nafis, Kodi Rasheed dan beberapa pelakon lain.








