berita

Adakah Cinta Bakal Berputik? Lagu Cinta Kita Musim Ke-2 Kini Tampil Penuh Kejutan!

November 4th, 2020 | by AnisAffandi
Kini Trending

Program popular Lagu Cinta Kita (LCK) kini kembali dengan musim ke-2! Program yang diadaptasi dari program popular South Korea, Love At First Song ini bakal ditayangkan di TV3 bermula 8 November.

Tampil dengan kelainan, program yang dihoskan oleh Elly Mazlein atau lebih dikenali sebagai Kak Lina Pom Pom selaku hos tetap ini akan digandingkan bersama pasangan hos penuh kontroversi, Azwan Ali!

Libatkan 18 pasangan

LCK2 bakal menampilkan 36 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Mereka kemudiannya akan dipadankan kepada 18 pasangan duet di mana mereka semua tidak akan diberitahu siapa pasangan mereka sehinggalah berada di atas pentas. Wah suprise gitu!

Di pusingan awal, peserta akan dipadankan mengikut giliran dari episod 1 hingga episod 3 di mana setiap episod, 6 pasangan akan dikenalkan. Para peserta juga akan memilih lagu mengikut urutan lagu yang ditetapkan oleh juri tetap berdasarkan vokal mereka.

Kemudiannya, peserta akan dipadankan dengan pasangan duet mengikut pilihan lagu yang sama dan bagi mengalihkan dinding pemisah di antara pentas mereka, penonton rumah yang berkuasa. Ini kerana pada awal persembahan, peserta akan menyanyi di dua pentas yang berbeza, dan ketika itu barulah mereka ditunjukkan siapa pasangannya.

Peserta juga perlu mendapatkan undian daripada semua juri supaya pentas dapat dicantumkan dan mara ke pusingan seterusnya. Bagaimanapun, ‘Love Camp Song’ di episod 4 hanya akan diteruskan dengan 10 pasangan duet dan ketika inilah peserta diberi peluang bagi mengenali sesama sendiri.

Para peserta juga akan diberikan tugasan yang melibatkan ujian keserasian dan setiap pasangan akan diberikan tajuk lagu yang dipertandingkan di pentas LCK2. Pada peringkat ini, panel juri memainkan peranan penuh dalam menilai persembahan peserta dan satu pasangan akan disingkirkan.

Terima hadiah wang tunai

Bagi episod 5 & 6, 9 pasangan yang bertahan bakal membuat persembahan mengikut tema mingguan yang telah ditetapkan iaitu Cinta Sepanjang Zaman, di mana memfokuskan kepada lagu cinta popular era 60-an hingga 90-an, dan Cinta Antara Benua yang mengimbau lagu-lagu romantis dari Malaysia dan pelbagai negara lain.

Walaubagaimanapun, hanya 7 pasangan yang bakal berentap di pusingan separuh akhir dan 5 pasangan akan meneruskan perjuangan ke pusingan akhir. Juara LCK2 bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 50,000, naib juara RM 30,000, tempat ketiga RM 20,000 dan tempat keempat dan kelima masing masing membawa pulang RM 15,000 dan RM 10,000.

LCK2 ini juga telah mengekalkan Hael Husaini sebagai juri tetap yang juga digandingkan bersama gandingan baharu iaitu Mas Idayu. Setiap minggu mereka akan ditemani oleh juri jemputan yang terdiri daripada selebriti popular tempatan.

Jangan lupa saksikan LCK2 yang bakal bersiaran di TV3 setiap Ahad, 9 malam bermula 8 November ini! Juga jangan lupa gunakan #LaguCintaKita2 bagi mengetahui segala berkaitan program baru ini! Bagi maklumat lanjut dan perkembangan berkenaan program TV3 anda boleh ke laman Instagram dan Facebook rasmi TV3Malaysia.

SKIP THIS AD ×