berita

Adam & Hawa : Kisah Cinta Bertaut Semula Di Depan Pintu Masjidil Haram

August 27th, 2012 | by M
Kini Trending

Sebuah lagi drama berantai 80 episod adaptasi novel terlaris nukilan penulis Aisha Sofea berjudul Adam & Hawa bakal menemui anda pada setiap hari Isnin hingga Khamis jam 10.00 malam bermula 27 Ogos 2012 secara eksklusif di saluran 134 (Mustika) dalam kualiti HD.

Drama ini menerima sentuhan lakonan daripada bintang paling popular 2011 iaitu Aaron Aziz (Adam Mukhriz) dan seorang aktres yang kini menerima perhatian hasil bakatnya yang mantap iaitu Nadiya Nisaa (Ain Hawani). Drama ini turut dijayakan dengan barisan pelakon baru dan lama seperti Anzalna Nasir selaku Dee, Elfaeza Ul Haq selaku Azie, Dazrin Kamarudin selaku Johan, Norman Hakim selaku Zul, Amyza Adnan selaku Cikgu Zawyah, Aznah Hamid selaku Maria dan Rozie Rashid selaku Kak Zah.

Paling menarik, kota indah Perth & Fremantle dipilih oleh pengarah Mohd Feroz Kader sebagai latar belakang bagi menghidupkan babak-babak yang tidak dapat dilupakan dari novel popular ini dengan kerjasama daripada pihak Tourism Australia.

Berkisarkan tentang Ain Hawani, seorang remaja lepasan SPM yang bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi telah ditangkap basah bersama Adam, seorang jejaka kacak yang terkenal dengan sikap ‘playboy’nya.

Semuanya bermula apabila Ain bekerja secara sambilan kerana menggantikan seorang guru bersalin di sebuah tadika milik kakak kepada Adam Mukhriz. Pertemuan yang pada awalnya membimbitkan perasaan suka Ain terhadap Adam telah bertukar kepada benci ekoran tragedi berkenaan.

Impian Ain untuk bergelar graduan berjaya seakan berkecai apabila dia telah dipaksa untuk berkahwin dengan Adam bagi membersihkan nama baik keluarga.

Memilukan hati Ain adalah dengan sikap Adam yang mendiamkan diri seolah-olah tuduhan khalwat itu benar-benar berlaku, sedangkan mereka rupanya telah difitnah oleh bekas teman wanita Adam yang cemburukan hubungan mereka sebagai kawan.

Apabila sudah bergelar suami isteri, Ain tak dapat menerima Adam yang bekerja sebagai juruterbang ini sebagai suami. Ditakdirkan, Ain berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negeri dan mereka berpisah sehingga 8 tahun lamanya.

Selepas tempoh yang lama, di depan pintu Masjidil Haram di Kota Mekah, mereka bertemu semula. Adam masih menganggap Ain sebagai seorang isteri yang sah, bagaimanapun Ain masih kekal dengan pendiriannya.

Ego tetap mengatasi hati Ain walaupun Adam mengharapkan wanita ini kembali menerimanya semula. Apakah kesudahan kisah cinta antara Adam & Hawa ini?

Sebagai peminat, kesetiaan anda turut diraikan dengan penganjuran Peraduan Tonton dan Menang Adam & Hawa dimana anda berpeluang untuk memenangi hadiah berupa tiket penerbangan kelas ekonomi pergi dan balik ke Perth sumbangan pihak Tourism Australia.

Anda hanya perlu menonton drama Adam & Hawa di saluran Mustika HD dan layari laman sesawang di www.astro.com.my/adamdanhawa untuk menjawab soalan yang dirangka berdasarkan drama ini bermula 24 September – 14 Oktober 2012. Juga, jangan lepaskan peluang anda untuk menyaksikan Episod 1 hingga 4 drama bersiri Adam & Hawa secara ONLINE! Layari www.astrogempak.com.my pada 27 – 30 Ogos ini, jam 10 malam.

Untuk menikmati saluran Mustika HD, para pelanggan Pakej Mustika hanya perlu melanggan perkhidmatan Astro B.yond dengan bayaran serendah RM20.00 sebulan. Manakala bagi para pelanggan perkhidmatan Astro B.yond pula, mereka hanya perlu melanggan Pakej Mustika dengan bayaran RM12.95 sebulan untuk menikmati saluran ini. Untuk melanggan, sila layari laman web www.astro.com.my/byond atau www.astro.com.my/mustika atau hubungi 1300 82 3838.

The following two tabs change content below.

M

Founder OHBULAN! yang kini bergiat secara serius dalam industri media & pengiklanan. Beliau membantu para klien mencapai pelanggan yang berpotensi melalui kempen pengiklanan secara menyeluruh dan berkesan.