Bermula 10 hingga 26 Mei ini bakal berlangsungnya pementasan ‘Chow Kit Road! Chow Kit Road Musical’ bertempat di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Antara barisan pelakon yang terlibat adalah Adibah Noor, Tony Eusoff, Nadia Aqilah serta Anding.
Menurut Adibah Noor, ini adalah kali pertama dia bekerjasama dengan individu yang arif mengenai teater dan merasa bangga apabila dilamar untuk membuat pementasan teater muzikal ‘Chow Kit Road’ sempena memperingati Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad.
Berkongsi lebih lanjut mengenai jalan cerita teater muzikal ini, Adibah Noor telah menyifatkan bahawa ini adalah pengalaman barunya dalam membongkar kehidupan sebenar masyarakat di Chow Kit dan membuka mata masyarakat sekeliling mengenai tempat tersebut.
“Apabila kita dapat luangkan masa untuk melawat anak-anak di jalan Chow Kit, baru saya tahu bagaimana kehidupan mereka di sana. Selalunya kita lihat orang bagi derma seperti duit dan makanan, tetapi mereka langsung tak pernah ambil tahu bagaimana kehidupan sebenar mereka.”
“Kita juga tak pernah tahu apa cerita disebalik kehidupan mereka, bagaimana mereka boleh jadi begitu dan apakah perspektif masyarakat dekat sana berfikir. Apa yang kita tahu, bagi derma lepas itu tinggal mereka macam itu sahaja tanpa ada inisiatif untuk lakukan sesuatu.”
“Oleh itu, teater muzikal Chow Kit ini sendiri akan membuka mata orang-orang yang menderma dan lihat semua perkara tersebut dari sisi yang berbeza.”
Dalam pada itu, selaku pemegang watak utama Anding turut menyatakan bahawa watak ‘Ilham’ yang dibawanya adalah satu karakter yang sangat mencabar kerana dia terpaksa belajar banyak aspek serta menjiwai karakter individu yang dikategorikan sebagai ‘orang jalanan.’
“Kalau kita tengok dekat Kuala Lumpur ini memang ramai orang macam itu. Jadi bagi menguatkan watak Ilham dalam diri saya, saya kena belajar bagimana perwatakan serta cara-cara kehidupan ‘orang jalanan’ yang tinggal di Chow Kit.”
“Dengan teater muzikal ini kita nak ubah tanggapan orang ramai terhadap masyarakat yang tinggal di Chow Kit dan saya perhatikan penduduk di sana adalah berbilang bangsa dan masing-masing mencari rezeki dengan cara tersendiri.”
Untuk makluman, teater muzikal ini bakal menampilkan 20 lagu-lagu hit Allahyarham Dato’ Sudirman dan sasaran utama teater ini diadakan adalah untuk menarik minat generasi muda serta memperkenalkan siapakah sebenarnya Allahyarham Dato’ Sudirman itu sendiri.