Bekas isteri kepada Along Cham iaitu Afreena Suhaimi tidak gentar ketika diminta oleh hakim, Muhamad Nazri Basrawi untuk mengangkat sumpah menegaskan tiada lafaz rujuk berlaku selepas aktor itu melafazkan cerai pada 18 Jun 2024.

Artikel Berkaitan: ‘Saya Gagal Didik Isteri, Kemudi Rumah Tangga’ – Along Enggan Lagi Berhubung Dengan Afreena

Berani

Afreena, 33, berkata, dia yakin dengan keterangannya kerana apa yang diperkatakan adalah benar dan menegaskan perkara berkaitan hukum agama tidak boleh dipandang enteng.

Kalau nak cakap fasal pengalaman, seperti dia cakap saya menafikan wujud lafaz rujuk. Saya pernah berkahwin sebelum ini serta pernah bercerai. Saya tidak takut dimakan sumpah.

Saya juga pernah lalui proses pengesahan lafaz cerai, jadi takkanlah saya nak menafikan kenyataan. Sebagai isteri, perkara ini (perceraian) orang kata bukan boleh buat main-main untuk kita menafikan rujuk dari suami.

Cuma saya tak tahu kenapa pihak sana (Along) buat kenyataan saya berbohong mengenai lafaz rujuk, sedangkan lafaz rujuk memang tak berlaku.

Afreena berkata demikian sejurus selesai prosiding pengesahan lafaz taklik di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, pada Selasa.

Dalam pada itu, Afreena menjelaskan dia tidak menyimpan sebarang dendam terhadap Along, malah terbuka untuk bersahabat. Malah, dia turut mendoakan kesejahteraan dan kerjaya seni bekas suaminya.

Saya langsung tak ada dendam pada dia. Kalau nak berkawan pun saya tiada masalah. Saya pun dah lama ‘move on’ sebab isu ini dah berlarutan lebih setahun.

Saya doakan yang terbaik untuk dia, sama ada dalam kerjaya, kehidupan peribadi atau urusan anak-anak. Semoga kes ini juga dapat diselesaikan dengan cara yang baik. Saya doakan juga dia dipertemukan jodoh.

Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengesahkan Along dan Afreena sah bercerai talak satu.

Imbas kembali, Along mendirikan rumah tangga dengan Afreena pada 4 April 2024.

Sebelum itu, Along pernah berkahwin dengan penyanyi Zila Saeron pada September 2016. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan anak lelaki, Ahmad Daniel, 14 yang kini di bawah jagaan Along.